TINDAKAN pemain Perak FC, Sunday Kolawole Afolabi melakukan tarian kontroversi ketika menentang Kelantan FC benar-benar mencetuskan fenomena sehingga menjadi bualan hangat peminat bola sepak tanah air.
Bukan setakat itu sahaja, selepas membuat tarian didakwa bertujuan provokasi, Afolabi kemudian mendakwa kakinya telah dipijak pemain pertahanan Kelantan FC, Latif Suhaimi yang menyebabkan pemain dari Nigeria itu jatuh terguling-guling.
Tindakan Afolabi mencetuskan kontroversi dan menjadi bualan pengikut bola sepak tempatan. — Facebook
Video tindakan Afolabi itu juga mendapat liputan beberapa laman media sosial antarabangsa.
Namun, Perak FC tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pemain itu sebaliknya menyambung kontrak Afolabi selama dua tahun.
Afolabi kemudian membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Kelantan FC atas tindakannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.
Di sebalik kontroversi yang dilakukan Afolabi, Majoriti sertakan tiga sebab mengapa lanjutan kontrak selama dua tahun itu adalah tindakan tepat oleh Perak FC.
Afolabi mempunyai ketenangan yang tinggi ketika bermain. — Facebook/Perak FC
Muda dan berkemahiran tinggi
Afolabi merupakan seorang pemain muda yang mempunyai potensi cukup tingggi dalam bola sepak.
Walaupun masih baharu, pemain berusia 23 tahun ini sangat cepat mencipta persefahaman dengan ahli pasukannya.
Malah, dia juga mempunyai ketenangan bila berada di bahagian pertahanan dan cukup rajin untuk membantu membawa bola naik ke atas.
Afolabi hanya memerlukan sedikit masa sahaja lagi untuk memahami rentak bola sepak tempatan dan jika sudah fasih, pasti akan menjadi tumpuan kelab lain.
Usia muda memberi peluang yang lebih kepada Afolabi untuk kekal beraksi di Liga Super. — Facebook/Perak FC
Boleh jadi naturalisasi
Negara membenarkan pemain yang sudah lima tahun beraksi dalam kelab tempatan untuk ditarik menjadi pemain naturalisasi.
Mengikut umur Afolabi, kelayakannya untuk diserap menjadi pemain naturalisasi adalah ketika berusia 28 tahun.
Usia itu masih muda untuk seorang pemain bola sepak dan jika Afolabi masih kekal bersama Perak FC, kelab tersebut mempunyai satu lagi kuota import.
Apa yang perlu dilakukan oleh Perak FC adalah untuk memastikan pemain itu tidak dijerat ke pasukan lain.
Afolabi (tiga dari kiri) menjadi kesebelasan utama Perak FC. — Facebook/Perak FC
Potensi tebus kontrak
Menguruskan pasukan bola sepak adalah satu perniagaan dan amat penting untuk pasukan memilih pemain yang boleh membawa pulangan semula ke dalam pasukan.
Namun, pemain yang hebat pastinya akan diintai pasukan lain. Apa yang penting ialah untuk mengikat dahulu Afolabi.
Jika ada kelab lain yang menyatakan minat, maka bersedialah untuk menebus kontrak yang memberi pulangan kepada Perak FC.
Kelab mana berpotensi sanggup membayar wang tebusan kontrak Afolabi? Usah ditanya, pasti semua sudah tahu kelab mana yang mampu melakukannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram