Budak 3 tahun nyaris maut 'disimpan' dalam peti sejuk rumah jiran


  • Benua
  • Isnin, 15 Ogos 2022

Kanak-kanak tiga tahun yang disembunyikan dalam peti sejuk beku rumah jirannya kini dirawat di Hospital Kanak-Kanak Nasional, Hanoi. — Agensi

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang dipercayai menjadi mangsa culik 'disimpan' di dalam peti sejuk beku rumah jiran selama lebih sejam hingga dia dilaporkan hampir tidak bernyawa ketika ditemui.

Menurut laporan Vn Express, kejadian itu berlaku di Wilayah Ha Nam, Vietnam pada petang Sabtu.

Kanak-kanak itu mengalami kegagalan pernafasan dan hipotermia atau keadaan suhu badan turun secara mendadak di bawah 35.0 darjah Celsius.

Doktor memberitahu bahawa budak lelaki digelar Min itu juga mengalami kecederaan luaran, pendarahan dan keradangan di kepala, muka, leher dan lidah hingga menyukarkan dia untuk makan.

Kanak-kanak yang menerima rawatan di Hospital Kanak-Kanak Nasional, Hanoi itu dilaporkan sudah stabil.

Pengerusi Jawatankuasa Rakyat Komune Nhan Chinh, Ngo Minh Toan berkata, kejadian berlaku di Kampung Thuong Vi dan suspek merupakan jiran yang menyewa sebuah rumah untuk menjual teh ais.

"Kira-kira pukul 3 petang, budak itu ke rumah suspek untuk bermain, namun selepas beberapa jam, dia masih belum pulang.

"Merasakan ada sesuatu yang tidak kena, datuknya, Thuoc mengajak ahli keluarga dan jiran tetangga untuk mencari Min kerana bimbang dia mungkin diculik," katanya.

baohanh23911660452091-16604775-3442-6536-1660477634_r_680x408

Kecederaan dapat dilihat di kepala dan muka Min yang ditemui terperangkap di dalam peti sejuk beku rumah jirannya di Ha Nam. — Agensi

Pada masa sama, anak lelaki Thuoc memeriksa rakaman televisyen litar tertutup dan mendapati Min memasuki jirannya itu pada pukul 3.20 petang namun tidak keluar dari kediaman itu.

Pada pukul 4.15 petang, suspek yang juga berniaga air minuman di depan rumahnya, dilihat menutup kedai dan beredar dengan motosikalnya.

Keluarga itu kemudian bergegas ke kedai terbabit tetapi mendapati ia berkunci dan menghubungi lelaki berusia 25 tahun itu yang kemudiannya menafikan Min berada di kedai dan tidak menjawab panggilan lanjut.

Laporan Vn Express berkata, Thuoc kemudian mengambil gergaji dan tukul dan meminta beberapa jiran membantu memotong kunci dan memecahkan pintu kaca.

Hasil pencarian menemukan Min 'disimpan' dalam sebuah kotak yang diletakkan dalam peti sejuk beku.

"Min terbaring dan tidak bergerak. Badannya sejuk dan mengecut. Terdapat juga tali kasut putih yang dililit di lehernya," katanya.

Polis sudah menahan suspek terlibat untuk siasatan lanjut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram