'Jika tak sokong wakil Malaysia, lupakan bola sepak dan pergi main guli'


  • Podium
  • Selasa, 16 Ogos 2022

Harimau Selatan melakar sejarah apabila menjadi pasukan Malaysia pertama mara ke pusingan 16 terbaik dalam format baharu ACL. — Facebook/JDT

PASUKAN Johor Darul Takzim (JDT) bakal berdepan wakil J1 League, Urawa Red Diamonds atau Red Devils di pusingan 16 terbaik pada Jumaat di Stadium Shibuya 2, Jepun.

Setakat ini, Harimau Selatan melakar sejarah apabila menjadi pasukan Malaysia pertama mara ke pusingan 16 terbaik dalam format baharu Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Perlawanan tersebut amat penting buat kedua-dua pasukan tatkala JDT sudah pasti mahu melakukan segalanya untuk memenangi aksi ini sementara juara dua kali Asia ini memiliki kemampuan tersendiri untuk meraih kemenangan.

Menariknya, walaupun JDT antara pasukan yang paling dicemburui oleh penyokong tempatan dalam liga, tetapi jika melibatkan perlawanan ACL, ramai yang mendoakan agar Harimau Selatan melangkah lebih jauh.

Sebelum ini perlawanan di antara JDT dan Urawa dijadualkan di Stadium Saitama, Jepun namun venue tersebut berubah kerana peningkatan kes Covid-19 yang berlaku dengan merekodkan lebih 230,000 kes harian.

gol30_1651316561

JDT antara pasukan yang paling tidak disukai oleh penyokong tempatan dalam liga. Facebook/JDT

Melalui hantaran yang dimuat naik seorang penyokong bola sepak di Facebook, Khairil Anam, dia menyatakan dirinya bukanlah anak kelahiran Johor tetapi sebagai rakyat Malaysia dia akan menyokong JDT di pentas Asia.

"Aku bukan orang Johor, tapi sebagai rakyat Malaysia menyokong sepenuhnya JDT yang membawa nama Malaysia di pentas ACL . Semoga kemenangan milik JDT."

Hantaran tersebut mendapat pelbagai reaksi positif rata-rata penyokong bola sepak tempatan dengan iringan doa dari orang ramai buat skuad kendalian Héctor Bidoglio.

"Semoga JDT mara lebih jauh lagi demi Malaysia dan menaikkan nama serta point MA kelab Malaysia di pentas Asia, saya doakan yang terbaik untuk JDT," kata Wan Winger.

"Dalam situasi ini kita sebagai peminat sukan bola sepak harus bersama-sama mendoakan kejayaan JDT yang mewakili Malaysia, semoga beroleh kejayaan," jelas Azitazizul Azitazi.

19734C9F-083B-4AF2-A543-45FC25188321

BG Phathum United turut menemani JDT selaku wakil Asia Tenggara ke pusingan kalah mati. Facebook/BG Pathum

"Ramai rakyat Malaysia yang bukan orang Johor atau tinggal di negeri lain akan beri sokongan pada JDT ini sebab mereka satu-satunya wakil kelab dari Malaysia yang bermain di ACL," ujar Muhammad Karim.

"Musuh dalam padang, yang di luar tak perlu emosi sangat, MA ranking penting untuk Malaysia. Jika tak sokong wakil Malaysia lupakan bola sepak dan pergi main guli," tulis Zack Miazawa.

Selain JDT, wakil Thai League 1, BG Phathum United turut menemani JDT selaku wakil Asia Tenggara ke-2 ke pusingan kalah mati pada edisi kali ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram