Polis buru 2 kumpulan lelaki merusuh di Sri Petaling


  • 112
  • Rabu, 29 Jun 2022

Suspek turut merosakkan kenderaan yang diparkir di Jalan Radin Bagus Sri Petaling, Kuala Lumpur. — Sinar Harian

POLIS sedang mengesan 20 individu yang disyaki terlibat dalam kes pergaduhan di Jalan Radin Bagus Sri Petaling, Kuala Lumpur pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, dalam kejadian pukul 2.30 pagi, seorang lelaki yang juga pengadu bersama rakannya sedang makan di sebuah gerai sebelum mendapati dua kumpulan lelaki sedang merusuh.

"Kesemua suspek itu bergaduh di antara satu sama lain dengan menggunakan senjata besi dan botol arak," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Amihizam berkata, pengadu mendapati suspek tersebut merosakkan beberapa buah kereta termasuk keretanya yang diparkir di kawasan itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati, kereta pengadu mengalami kerosakan pecah cermin belakang dan cermin penumpang belakang sebelah kanan," ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu boleh menghubungi talian hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram