KEMENANGAN begitu selesa direkodkan Liverpool dalam perlawanan akhir fasa liga dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) apabila mereka menang 6-0 ke atas Qarabag pada Khamis.
Dalam aksi di laman sendiri itu, dua daripada enam jaringan The Reds disumbangkan Alexis MacAllister sementara Florian Wirtz, Mohamed Salah, Hugo Ekitike dan Hugo Chiesa masing-masing mencetak satu gol.
Keputusan positif berkenaan sekali gus memastikan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut layan ke pusingan kalah mati selepas berada di tangga ketiga fasa liga.
BACA LAGI: Tiada lagi isu, Slot akui gembira Salah kembali ke skuad Liverpool
BACA LAGI: 'Kesihatan pemain lebih penting', Slot dan Szoboszlai geram tindakan Martinelli

Liverpool merekodkan kemenangan selesa 6-0 untuk memastikan kemaraan ke pusingan kalah mati. — Agensi
Namun, perlawanan itu memberi masalah begitu besar buat pengurus, Arne Slot apabila bek kanan utama, Jeremie Frimpong terpaksa dibawa keluar seawal minit keempat akibat kecederaan.
Melihat kepada pergerakan pemain antarabangsa Belanda itu, dia kelihatan tidak begitu selesa dengan kemungkinan rawatan jangka masa panjang perlu diberikan.
"Dia akan berehat untuk masa yang lama kerana melihat kepada momen sebegitu yang mana dia terpaksa segera dibawa keluar, ia sudah untuk menceritakan situasi sebenar," katanya.
Ini merupakan satu berita buruk buat Liverpool selepas tiga pemain lain di posisi pertahanan iaitu Joe Gomez, Giovanni Leoni dan Conor Bradley terpaksa berehat akibat kecederaan.
Bagaimanapun, meskipun kehilangan Frimpong, Arne Slot tidak meletakkan harapan terdapat wajah baharu akan menyertai skuad The Reds dalam masa terdekat.

Arne Slot mula runsing dengan kepincangan dalam pasukan akibat isu kecederaan. — Agensi
"Kita perlu tunggu dan lihat, terdapat hanya beberapa hari sahaja lagi (jendela perpindahan). Jadi, kita tunggu dan lihat apa yang bakal terjadi.
"Kami sebagai sebuah kelab sentiasa akan membuat keputusan dan apa yang diputuskan perlulah sesuatu yang bijak. Kita tidak hanya melihat untuk tempoh pendek, tetapi juga bagi jangka masa panjang," katanya.
Sebelum ini, Liverpool dikaitkan dengan kapten Crystal Palace, Marc Guehi dalam usaha mengukuhkan barisan pertahanan memandangkan Virgil van Dijk sudah semakin berusia.
Namun, usaha itu tidak membuahkan hasil apabila pemain antarabangsa England terbabit memilih untuk ke Manchester City, sekali gus mendesak The Reds mencari alternatif baharu.
Setakat ini, tiada sebarang khabar angin mengenai rekrut baharu yang bakal ditandatangani dengan jendela perpindahan musim sejuk akan ditutup Isnin depan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
