Dapat robek gawang Selangor, bek Kelantan TRW optimis peluang masih ada


  • Podium
  • Jumaat, 23 Jan 2026

Simen Lyngbo (kiri) meraikan jaringannya menentang Selangor.

KALAH tapi belum lagi rebah, itulah situasi Kelantan The Real Warriors (KTRW) FC selepas kecundang 1-2 kepada Selangor FC pada perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia.

Bertandang ke gelanggang lawan untuk aksi timbal balik pada Jumaat, kelab Pantai Timur itu bagaimana pun tidak menutup segala harapan untuk mara ke suku akhir.

Bagi pemain importnya, Simen Lyngbo, dia masih berasakan peluang itu ada untuk mengejutkan Selangor walaupun Gergasi Merah akan disokong oleh ribuan peminat mereka.

BACA LAGI: Baru saja menang selepas 10 bulan, Zii Jia tersingkir Masters Indonesia

BACA LAGI: Pintas Man United, Liverpool kini kelab terkaya England

KTRW tumpas menerusi jaringan berganda Faisal Halim (kiri).

Dia yang menjaringkan gol KTRW pada aksi pertama berpendapat kelabnya harus mengawal perkara dalam lingkungan mereka supaya tidak mudah dihukum oleh Selangor.

"Selangor mempunyai pilihan yang ampuh di bahagian tengah tapi perlawanan sebegini adalah aksi yang anda ingin menjadi sebahagian daripadanya.

"Mereka adalah pasukan pilihan tapi kami hanya fokus kepada perkara yang kami boleh kawal dan pastikan taktikal dilaksanakan dengan baik apabila tiba waktunya," kata Lyngbo.

Lyngbo yang merupakan bek sayap (wingback) mengejutkan Selangor apabila golnya pada separuh masa pertama meletakkan KTRW di hadapan.

Namun begitu, mereka tidak dapat mengekalkan pendahuluan apabila jaringan berganda Faisal Halim pada separuh masa kedua menghadiahkan kemenangan buat Selangor.

Bagi Lyngbo, fokus utama KTRW adalah untuk kekal konsisten supaya kemenangan boleh diraih.

"Masih lagi ada perkara yang kami perlu baiki secara kolektif, jika semua pihak bekerjasama ke arah yang sama, kami dapat membina sesuatu yang positif.

"Persiapan sekarang ini dalam keadaan baik. Dengan masa yang singkat antara dua perlawanan, proses pemulihan dan perincian taktikal adalah perkara penting perlu diberikan perhatian," jelasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram