Casemiro sah ucap selamat tinggal, 4 'ubi muda' sudah disenarai jadi pengganti


  • Podium
  • Jumaat, 23 Jan 2026

Casemiro antara pembelian terawal pada era Erik ten Hag di Old Trafford. — Agensi

MANCHESTER UNITED dilaporkan telah menyenaraikan empat pemain sebagai calon pengganti Casemiro, yang bakal meninggalkan kelab berkenaan pada penghujung musim ini.

Pemain tengah berusia 33 tahun itu merupakan antara pembelian terawal pada era Erik ten Hag di Old Trafford, disahkan akan berpisah dengan The Red Devils selepas kontraknya tidak diperbaharui.

Kelab memilih untuk tidak melanjutkan kontrak lumayan Casemiro yang menyaksikannya menerima gaji sekitar £350,000 (RM1,920,000) seminggu, meskipun dia merupakan pemenang Liga Juara-Juara Eropah sebanyak lima kali.

BACA LAGI: Pintas Man United, Liverpool kini kelab terkaya England

BACA LAGI: Alami 'homesick' di London, Man United pilihan terbaik Cole Palmer

Menurut laporan SunSport, pengurusan tertinggi United sudah mengenal pasti empat nama bagi mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan pemain kebangsaan Brazil itu.

Keutamaan United pada jendela perpindahan musim panas ini adalah mendapatkan pemain tengah bertahan atau peranan nombor enam dengan tiga pemain England iaitu Elliot Anderson, Adam Wharton dan Alex Scott.

Ketiga-tiga pemain itu dikatakan berjaya menarik perhatian barisan pengurusan United menerusi prestasi konsisten bersama Nottingham Forest, Crystal Palace dan Bournemouth sepanjang musim ini.

Selain itu, United turut memantau pemain tengah Brighton & Hove Albion, Carlos Baleba dengan pemain berusia 22 tahun dari Cameroon itu pernah menjadi sasaran United pada musim panas lalu.

 

 

Bagaimanapun, cubaan mendapatkan Baleba pada jendela perpindahan musim sejuk dilaporkan sukar direalisasikan berikutan kekosongan jawatan pengurus di Old Trafford ketika ini.

Pengumuman mengenai pemergian Casemiro dibuat kelab pada Selasa, dengan pemain berpengalaman itu turut menyampaikan ucapan penuh emosi kepada penyokong menerusi laman web rasmi kelab dan akaun Instagram miliknya.

"Saya akan membawa Manchester United bersama saya sepanjang hidup saya. Dari hari pertama saya melangkah ke stadium yang indah ini, saya merasai keghairahan Old Trafford dan kasih sayang penyokong terhadap kelab istimewa ini.

“Ini bukan masa untuk mengucapkan selamat tinggal. Masih banyak kenangan yang akan dicipta dalam tempoh empat bulan akan datang. Kami masih ada banyak perkara untuk diperjuangkan bersama dan fokus saya kekal untuk memberikan segalanya demi kejayaan kelab," katanya.

 

 

Dalam satu hantaran di Instagram, Casemiro menulis 'mengetahui bila satu fasa berakhir. Mengetahui bila masa untuk mengucapkan selamat tinggal apabila anda tahu anda akan dikenang dan dihormati selamanya.

"Empat bulan untuk memberikan segalanya demi lencana ini dan sasaran kami. Hormat dan kasih sayang abadi buat Manchester United dan penyokongnya yang luar biasa. Forever Red Devil," ujarnya.

Casemiro menjaringkan gol pembukaan ketika United menewaskan Newcastle pada final Piala Liga 2023, selain membantu kelab menamatkan saingan liga di tangga ketiga. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram