PENGENDALI Liverpool, Arne Slot mengakui yang dia gembira melihat pemain utamanya, Mohamed Salah kembali ke skuad selepas menjalani tugas bersama negaranya.
Sebelum ini, Salah meninggalkan Liverpool buat sementara apabila menyahut panggilan Mesir untuk tugasan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).
Kini kembali semula ke Liverpool untuk tugasan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) berdepan Marseille, Slot mengatakan yang Salah dijangka akan memainkan peranan penting.
BACA LAGI: Dahulu watak ikat JDT di SSI, bekas tonggak Sri Pahang kini penjual kereta
BACA LAGI: Akaun media sosial digodam, ‘Bruno Fernandes’ sangkal kenyataan rasmi Man United
"Kita tengok macam mana kesebelasan utama bila lawan Marseille jika anda berasakan yang kami masih lagi ada isu. Saya ada bercakap dengan Salah dan saya gembira yang dia kembali.
"Musim ini, ada beberapa kali yang saya tidak turunkan dia dan ada juga waktu yang saya tidak bawa ke perlawanan.
"Untuk kebanyakan perlawanan dia berada dalam skuad dan merupakan pemain gantian pertama semasa aksi berdepan Brighton & Hove Albion, itu tidak pernah menjadi isu kepada saya," jelas Slot.
Sebelum ini, Salah pernah mengejutkan banyak pihak selepas mengatakan yang dia tidak diberi layanan seeloknya oleh pihak kelab dan tidak mempunyai hubungan dengan Slot.
Namun selepas pergi menyertai Mesir di AFCON, Salah dilihat mendapatkan semula keyakinannya dan dijangka kembali menyinar untuk Liverpool.
"Dia pergi ke AFCON dan lakukan perkara yang selalu dilakukannya iaitu menjaringkan gol.
"Semasa ketiadaan dia, kami bermain agak baik dalam tidak memboloskan gol sambil semakin kerap mencipta peluang, sekarang ia lebih membantu untuk ada Salah semula.
"Sekarang ini hanya ada satu saja pemain Liverpool yang masih hidup yang jaringkan gol lebih banyak daripada Salah, tapi saya tak boleh nak turunkan Ian Rush," jelas Slot. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
