PENGURUS Liverpool, Arne Slot khuatir akan keadaan kesihatan anak buahnya, Conor Bradley selepas ditolak pemain sayap Arsenal, Gabriel Martinelli dalam perlawanan yang berlangsung pada Jumaat.
Insiden itu tercetus apabila bek muda The Reds pada awalnya mengalami kecederaan lutut pada masa kecederaan sebelum didesak untuk keluar padang oleh tonggak lawan.
Tindakan tersebut dibuat pemain antarabangsa Brazil berkenaan kerana tidak mahu waktu disia-siakan tatkala kedudukan berada pada 0-0 ketika itu yang kemudiannya kekal hingga wisel penamat ditiupkan.
BACA LAGI: Tomiyasu akui benci sikap rakan sepasukan ketika latihan
BACA LAGI: Arsenal tunjukkan pemain Liverpool juga manusia biasa — Klopp

Martinelli (merah) memaksa Bradley meninggalkan padang bagi membolehkan perlawanan diteruskan.
"Saya tidak begitu mengenali Martinelli, saya tahu dia seseorang yang baik. Tetapi, masalah ketika ini adalah apabila terdapat terlalu banyak taktik membazirkan masa.
"Ini boleh menyebabkan mereka berasa geram. Saya tidak boleh minta Martinelli yang mungkin beremosi pada minit ke94 untuk faham bahawa kami bukanlah pasukan yang suka membuang masa," kata Slot.
Dalam perlawanan itu, Bradley terpaksa diusung keluar akibat kecederaan tersebut dengan situasi itu pasti menimbulkan kegusaran dalam kem Liverpool.
Kehilangan pemain berkenaan semestinya mengganggu kestabilan pasukan kerana pertahanan utama, Jeremie Frimpong turut dilanda masalah sedemikian.
Tindakan Martinelli turut diulas tonggak The Reds, Dominik Szoboszlai yang tidak setuju dengan sikap bintang Arsenal berkenaan pada momen tersebut.

Arne Slot masih belum mengetahui situasi sebenar Bradley setakat ini. — Agensi
"Saya nampak Bradley mengalami kecederaan lutut, saya tidak tahu apa yang berlaku kepadanya. Jelas, dia tidak mahu kembali ke dalam padang kerana begitu kesakitan.
"Saya faham bahawa mereka mahu menang dan begitu juga kami. Tetapi, kesihatan dan keadaan pemain adalah lebih penting berbanding segala-galanya," kata pemain tengah The Reds itu.
Keadaan Bradley yang juga merupakan pemain antarabangsa Ireland Utara masih belum diketahui secara lanjut kerana pemeriksaan menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu.
Sekiranya pemain berusia 22 tahun berkenaan tidak dapat beraksi selepas ini, Slot perlu mencari penyelesaian segera dengan menurunkan Frimpong atau Szoboszlai di posisi itu.
Keputusan seri itu menyaksikan Liverpool kini berada di tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) sementara Arsenal kekal sebagai pendahulu selepas 21 perlawanan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
