Peluang tambah kejuaraan, ‘Neymar Malaysia’ doakan Sabah julang Piala Cabaran MFL


  • Podium
  • Rabu, 28 Jan 2026

Skuad Sang Badak pasti kecewa selepas ditunjukkan keluar lebih awal dari saingan Piala Malaysia kali ini. — Facebook/Sabah FC

PENYINGKIRAN awal dialami Sabah FC dalam saingan Piala Malaysia selepas tewas 2-5 menerusi agregat di tangan Melaka FC, sekali gus menamatkan perjalanan mereka dalam pertandingan domestik itu.

Ini merupakan kekecewaan begitu hebat buat kelab Borneo tanah air tersebut selepas sebelum ini mencipta sejarah dengan layak ke pentas akhir Piala FA 2025/26.

Meskipun dimalukan Johor Darul Ta'zim (JDT), ia masih boleh dianggap satu pencapaian begitu baik buat skuad Sang Badak yang sudah lama tidak mara sejauh itu.

BACA LAGI: Sabah FC jelas sebab mengapa Rozaimi Abdul Rahman tak main skuad Liga Super

BACA LAGI: Taring kembali tajam, Rozaimi mudah catat hatrik buat Sabah

Lapan pasukan layak secara automatik ke Piala Cabaran MFL 2026 selepas tersingkir dari Piala Malaysia. Facebook/MFL

Jadi, penyingkiran awal daripada Piala Malaysia kali ini memberi kehampaan kepada penyokong yang mahu menyaksikan kelab kesayangan mereka mencipta satu lagi magis.

Bagaimanapun, Sabah FC masih berpeluang menambah koleksi kejuaraan kerana mereka layak secara automatik ke Piala Cabaran MFL susulan kekecewaan awal berkenaan.

Berdasarkan jadual semasa, skuad Sang Badak bakal berdepan PDRM FC di pusingan suku akhir dan akan berdepan Perak FA atau UM-Damansara United di pentas separuh akhir.

Ini merupakan peluang cerah kerana melihat kepada kualiti pemain dalam pasukan, kelab Borneo tanah air terbabit mempunyai lambakan bintang dengan pengalaman di pentas antarabangsa.

Oleh itu, peluang besar dimiliki Sabah FC untuk menjuarainya kali ini dengan bekas pemainnya, Rozaimi Abdul Rahman turut memberi sokongan penuh.

Rozaimi membantu JDT II menjuarai Piala Cabaran MFL pada 2019. Facebook/Rozaimi Abdul Rahman

"Semoga Sabah FC menjuarai Piala Cabaran MFL 2026 ini. Semoga maju jaya buat kawan-kawan," tulisnya menerusi hantaran di laman Facebook peribadinya.

Perkongsian itu dibuat berserta kepingan gambar ketika dia menjuarai kejohanan itu pada 2019 ketika masih beraksi bersama JDT II.

Malah, dalam edisi terbabit, pemain yang pernah diberi julukan Neymar Malaysia tersebut muncul sebagai antara pemain terbaik dengan enam gol dicatatkannya.

Meskipun trofi itu tidaklah begitu berprestij di mata peminat, ia masih boleh menyuntik keyakinan buat pemain dengan Rozaimi mengharapkan perkara tersebut dirasakan skuad Sang Badak.

Pemain kelahiran Papar, Sabah itu kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas musim lalu bersama skuad simpanan Sang Badak yang beraksi dalam Piala MFL.

Namun, kesukaran untuk memberi impak besar menyaksikan khidmatnya tidak diingini mana-mana kelab tempatan meskipun satu ketika dahulu pernah diangkat sebagai permata bola sepak negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram