PERMULAAN 2026 nyata tidak menyebelahi Sabah FC apabila dua tonggak utama mereka, Stuart Wilkin dan Daniel Ting sah meninggalkan skuad Sang Badak pada jendela perpindahan Januari ini.
Daniel Ting, yang berstatus pemain pinjaman daripada Johor Darul Ta'zim (JDT), meneruskan kariernya bersama kelab Thailand, Ratchaburi FC dengan status sama sehingga tamat musim 2025/2026.
Sejak pertama kali menyarung jersi kelab Borneo itu pada 2023, Ting mencatat 73 penampilan dengan sumbangan 10 gol dan 10 bantuan jaringan, menjadikannya antara aset penting pasukan.
BACA LAGI: Komitmen pemain layak ke final Piala FA bayangi kontroversi tunggakan gaji kem Sabah FC
BACA LAGI: Lepas sambar Deeromram dari Selangor, kelab Thailand disebut mahu ikat bek Sabah
Sementara itu, Wilkin yang menyertai Sabah sejak musim 2021/2022 kembali ke pangkuan Harimau Selatan bagi memperkukuh jentera tengah juara bertahan Liga Super tersebut.
Sejak bersama Sabah pada musim 2021/2022, pemain berusia 28 tahun itu telah mencatat 109 penampilan, selain meledak 17 gol serta menghadiahkan 21 bantuan jaringan.
Pemergian dua pemain itu bukan satu-satunya tamparan buat kem Sang Badak selepas Sabah difahamkan berdepan risiko kehilangan lebih ramai pemain susulan isu tunggakan gaji yang terus membelenggu kelab naib juara Piala FA 2025 itu, lagi-lagi tumpas 2-3 di tangan Kelantan Real Warrior dengan keputusan 2-3 pada Selasa.
Tiga gol yang bocor, tiga bulan setengah yang tertunggak. Difahamkan finalis Piala FA itu kini dibelenggu isu tunggakan gaji hampir tiga bulan setengah, dengan lebih ramai pemain dijangka angkat kaki. @ASTROARENA pic.twitter.com/T1dHIdtXl9
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) January 13, 2026
Perkembangan tersebut didedahkan oleh pemerhati bola sepak tempatan, Zulhelmi Zainal Azam, yang melaporkan Sabah FC kini mengalami tunggakan gaji hampir tiga bulan setengah.
"Tiga gol yang bocor, tiga bulan setengah yang tertunggak. Difahamkan finalis Piala FA itu kini dibelenggu isu tunggakan gaji hampir tiga bulan setengah, dengan lebih ramai pemain dijangka angkat kaki," katanya.
Isu kewangan bukan perkara baharu buat Sabah FC apabila kem Sang Badak dilaporkan berdepan masalah sama sejak tiga musim kebelakangan ini, termasuk pada musim 2023 dan 2024 ketika skuad The Rhinos turut dihimpit isu tunggakan gaji.
Sekiranya ia gagal ditangani dalam masa terdekat, Sabah berisiko kehilangan lebih ramai tonggak utama termasuk Dominic Tan, Damien Lim serta penyerang import, Ajdin Mujagic, yang mungkin memilih destinasi lebih stabil demi kelangsungan karier masing-masing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
