Usahawan luar bandar berisiko terjejas jika harga kurier dinaikkan — DPMM


  • Bisnes
  • Selasa, 20 Jan 2026

Harga asas kurier yang seragam berpotensi melebarkan jurang kos antara penjual bandar dan bukan bandar. — Gambar Hiasan

CADANGAN penetapan harga lantai bagi perkhidmatan kurier oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu diteliti secara menyeluruh agar tidak memberi kesan tidak seimbang kepada usahawan luar bandar, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, struktur kos dan tahap kebergantungan usahawan luar bandar terhadap perkhidmatan kurier adalah lebih tinggi berbanding usahawan di bandar utama.

Menurutnya, tanpa mekanisme imbangan yang sesuai, penetapan harga lantai berisiko memperlahankan penyertaan ekonomi luar bandar sekali gus bertentangan dengan agenda pembangunan inklusif negara.

BACA LAGI : [VIDEO] Pelajar datang sekolah hanya berselipar, guru sanggup 'korbankan' kasut kesayangan

BACA LAGI : [VIDEO] 'The real Papa Zola', rider terpaksa kendong bayi sambil bekerja angkara faktor kewangan

Beliau berkata, sektor e-dagang kini menjadi pemangkin utama mobiliti ekonomi usahawan di Sabah, Sarawak, Pantai Timur serta wilayah Utara, namun harga asas kurier yang seragam berpotensi melebarkan jurang kos antara penjual bandar dan bukan bandar.

"Usahawan luar bandar sedia menanggung kos logistik lebih tinggi akibat faktor jarak penghantaran, frekuensi perkhidmatan yang rendah serta keterbatasan rangkaian. Harga lantai yang tidak mengambil kira realiti ini boleh menambah beban kos operasi dan menghakis margin keuntungan PMKS," katanya.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon

DPMM turut berpandangan bahawa pelaksanaan harga lantai secara wajib berisiko meningkatkan kos perkhidmatan secara keseluruhan dan melemahkan galakan keusahawanan, khususnya dalam kalangan peniaga mikro dan sektor informal luar bandar.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pelaburan dalam infrastruktur logistik yang lebih baik perlu diberi keutamaan bagi meningkatkan kecekapan operasi, sekali gus membolehkan penyedia perkhidmatan menawarkan kadar lebih kompetitif tanpa menjejaskan kualiti.

Dari sudut inklusi digital, Norsyahrin berkata, akses kepada perkhidmatan logistik yang mampu milik adalah prasyarat penting bagi merapatkan jurang ekonomi dan digital antara bandar dan luar bandar.

Katanya, PMKS di luar Kuala Lumpur dan bandar utama berdepan risiko kehilangan daya saing walaupun menawarkan produk tempatan berpotensi tinggi, memandangkan pasaran e-dagang amat sensitif terhadap harga akhir kepada pengguna.

"Pendekatan yang lebih anjal dan inklusif diyakini mampu melindungi kelestarian industri kurier tanpa menjejaskan agenda pemerkasaan ekonomi luar bandar dan usahawan Melayu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram