PERLAWANAN dramatik antara juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC mencuri perhatian peminat bola sepak tanah air dengan kebangkitan luar biasa daripada skuad Harimau Selatan meskipun beraksi dengan 10 pemain.
Menerusi satu perkongsian oleh Bigfoot of Johore di laman Facebook pada Rabu, hantaran itu menyifatkan aksi tersebut sebagai perlawanan penuh emosi dan kontroversi selepas kapten JDT, Natxo Insa dilayangkan kad merah oleh pengadil bertugas, Razlan Joffri Ali pada babak kedua selepas didapati menanduk muka pemain lawan, Scott Woods.
Menurutnya, Kuching City ketika itu dilihat berada dalam posisi terbaik untuk mencipta sejarah namun JDT bangkit dengan semangat juang tinggi untuk merapatkan kedudukan 1-1 sebelum akhirnya mencatat kemenangan 2-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Rabu.
BACA LAGI: Komitmen pemain layak ke final Piala FA bayangi kontroversi tunggakan gaji kem Sabah FC
"Kuching City terlebih dahulu membuka jaringan pada separuh masa pertama, namun percaturan taktikal pada babak kedua dikatakan memberi kelebihan kepada JDT.
"Walaupun memiliki kelebihan seorang pemain, pasukan pelawat gagal memanfaatkannya sepenuhnya," katanya.
Di samping itu, tumpuan turut diberikan kepada barisan serangan skuad The Cats yang dikatakan kurang berkesan, sekali gus menyukarkan usaha mereka untuk menambah jaringan.
Situasi itu membuka ruang kepada JDT yang meskipun kekurangan pemain terus menggempur kubu lawan dengan disiplin dan intensiti tinggi.
"Apa yang boleh kita lihat, penyerang Kuching City FC, Ronald Ngah Wanja tidak tahu apa fungsi asyik tumbang atas padang, dapat bola pun sekali sepak, ada yang mengatakan Ngah Wanja malas, tidak ada fungsi langsung, bola control pun ke laut, itu saja.
"Jordan Mintah pun tidak main berbulan bulan gaji jalan, cubalah gajikan pemain baru yang boleh main supaya tidak membazir duit dan kuota import," tambahnya.

Natxo Insa dilayangkan kad merah selepas dikesan melakukan kekasaran terhadap pemain The Cats.
Menariknya, sebelum perlawanan berlangsung, sebahagian penyokong JDT dilaporkan memberi sokongan kepada Kuching City demi persaingan carta liga.
Namun, kekalahan itu tidak menjejaskan kedudukan JDT yang kekal di puncak Liga Super sebagai juara.
Pada masa sama, Bigfoot of Johore turut menyenaraikan beberapa fakta menarik perlawanan tersebut termasuk keputusan pengadil yang dianggap tidak memihak kepada JDT, penafian sepakan penalti, serta keberanian JDT untuk terus menyerang walaupun beraksi dengan 10 pemain.
Menariknya, kehilangan Natxo Insa nyata tidak melemahkan semangat Harimau Selatan.
Sebaliknya, penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva tampil sebagai watak penting apabila sekali lagi membuktikan ketajamannya di hadapan gawang, mencuri tumpuan dengan jaringan penting yang menentukan kemenangan.
"Secara keseluruhan, kemenangan JDT ke atas Kuching City dianggap sebagai bukti kualiti, disiplin dan karakter juara, sekali gus menegaskan mengapa pasukan itu terus mendominasi saingan Liga Super musim ini," ujarnya.
Dalam aksi yang berlangsung di SSI itu menyaksikan dua gol JDT diledak oleh Nacho Mendez pada minit ke-58 dan Bergson (m-64), manakala gol sagu hati Kuching City disempurnakan oleh Scott Woods. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
