Sabah FC jelas sebab mengapa Rozaimi Abdul Rahman tak main skuad Liga Super


  • Podium
  • Jumaat, 09 Feb 2024

Rozaimi (tiga dari kiri) kembali menyarung jersi Sabah FC musim depan. — Facebook/Sabah FC

BAGAI sirih pulang ke gagang. Bekas penyerang kebangsaan, Rozaimi Abdul Rahman akhirnya kembali semula ke pangkuan Sabah FC apabila dia menyertai kelab tersebut untuk musim baharu Liga Malaysia.

Menurut kenyataan Sabah FC, Rozaimi akan menyertai skuad Badak namun khidmatnya cuma akan dipakai dalam saingan Piala MFL apabila dia akan diserapkan ke dalam skuad bawah 23 tahun (B-23) kelab itu dan bukannya skuad Liga Super.

Hal ini kerana, keputusan untuk mendapatkan semula Rozaimi adalah sebagai ikon untuk membimbing para pemain muda di kelab tersebut berdasarkan pengalaman luas yang ada pada bekas bintang Johor Darul Ta'zim dan Kedah Darul Aman FC itu.

"Hasrat Rozaimi Abdul Rahman untuk menabur bakti bersama kelab negerinya iaitu Sabah FC akhirnya menjadi kenyataan apabila ditawarkan kontrak bermain untuk musim 2024/2025.

"Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Hj Wid bagaimanapun berkata, Sabah FC dan Rozaimi mencapai kata sepakat apabila beliau hanya akan bermain dan berlatih bersama-sama pasukan Piala MFL B23 Sabah FC.

"Menurut Joh, Sabah FC memanggil semula Rozaimi kerana beliau berpengalaman luas dalam bola sepak dan merupakan ikon yang dapat memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada pemain-pemain muda," kata Sabah dalam kenyataan pada Jumaat.

BACA LAGI: Piala Asia: Jordan berseronok awal, kini mahu terus bergembira sepanjang malam

BACA LAGI: Khidmat Darren Lok antara 4 tonggak Sabah FC ditagih benam Macarthur FC

Tugas Rozaimi dilihat terhad kerana hanya akan beraksi dalam Piala MFL, tetapi impaknya dijangka akan berpanjangan kerana dia akan terlibat secara tidak langsung dalam pembikinan bakat-bakat baharu Sabah.

Hal ini kerana, skuad Piala MFL Sabah untuk musim baharu akan dibarisi ramai pemain tempatan selaras dengan hala tuju kelab yang selari dengan hasrat penyokong mahu menghasilkan bakat muda berkualiti.

Untuk rekod, Rozaimi pernah beraksi untuk Sabah di awal kariernya sebelum dipinjamkan ke Selangor FC dan Harimau Muda A. Dia kemudiannya menyertai JDT pada 2016.

Kelab terakhir yang diwakili Rozaimi adalah Kedah pada 2020 sebelum dia tidak mempunyai kelab selepas tamat musim 2021.

Dalam pada itu, bekas penjaga gol iaitu Rozaimie Rohim akan menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan skuad Piala MFL Sabah untuk musim baharu.

Dia akan bersama-sama Vun Kit Ming dan Razlan Oto serta Johnny Dominicus yang dipilih sebagai ketua jurulatih. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram