PENYERANG warisan Harimau Malaya, Rodrigo Holgado meluahkan rasa lega selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) meluluskan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman yang membolehkan dia dan enam lagi pemain warisan kembali beraksi buat sementara waktu.
Holgado menerusi satu hantaran di media sosial menyifatkan keputusan berkenaan sebagai sinar harapan selepas melalui tempoh sukar yang menjejaskan kelangsungan kariernya.
“Apabila anda paling tidak menjangkakannya, matahari muncul semula dan semuanya kembali baik. Tiada ribut yang kekal selamanya,” tulis Holgado menerusi laman Instagram miliknya.
BACA LAGI: Khabar duka di kem Sabah, dengarnya penyerang berbisa The Rhinos seberang Laut China Selatan
BACA LAGI: Pengalaman luas di Asia dan Eropah, arkitek baharu tak sabar bantu Selangor kejar kejuaraan

Tangkap layar Insta Story Holgado. — Instagram/rodrigoholgado
Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan mengesahkan perkembangan positif tersebut yang memberi talian hayat kepada Holgado serta enam lagi pemain warisan iaitu Facundo Garces, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Menurut FAM, kebenaran untuk kembali beraksi itu adalah bersifat sementara dan akan kekal sehingga CAS membuat keputusan muktamad berhubung rayuan penuh kes berkenaan.
Sebelum ini, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendapati kesemua pemain terbabit melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) selepas siasatan mendakwa FAM mengemukakan dokumen yang dipercayai dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain warisan berkenaan.
Susulan pelanggaran berkenaan, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (sekitar RM11,000) serta hukuman penggantungan daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan.
Hukuman itu turut memberi kesan besar terhadap Holgado apabila dia dilaporkan telah ditamatkan kontrak oleh kelabnya, America de Cali ekoran isu berkenaan.
Bagaimanapun, keputusan terbaharu CAS membolehkan kesemua pemain menarik nafas lega sementara menunggu keputusan penuh rayuan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram
