HUBUNGAN cinta penyerang baharu Penang FC dari Brazil, Douglas Coutinho dengan bola sepak boleh digambarkan bermula seawal dia mampu berjalan ketika kecil.
Dibesarkan oleh arwah neneknya yang sering membawanya ke padang sekitar kejiranan untuk bermain bola bersama kanak-kanak lain, Coutinho membesar dengan mengidolakan pemain tengah kreatif Brazil, Philippe Coutinho.
Dia juga terpesona dengan kisah legenda Santos, Coutinho yang beraksi pada era kegemilangan Pele.
BACA LAGI: Khabar duka di kem Sabah, dengarnya penyerang berbisa The Rhinos seberang Laut China Selatan
BACA LAGI: Kad merah, penalti tak dilayan pengadil buktikan karakter JDT tumpaskan Kuching City
“Saya sudah mula bermain bola sepak sebaik sahaja boleh berjalan.
“Saya terlalu mencintai bola sepak sehingga ada masanya saya menghabiskan sepanjang hari bermain di jalanan.
"Nenek saya yang membesarkan saya dan sentiasa membawa saya ke padang untuk bermain bersama kanak-kanak lain serta bermimpi menjadi pemain profesional. Berkat beliau, impian itu akhirnya menjadi kenyataan,” kenangnya.
Coutinho (kanan) mencipta kenangan manis dalam penampilan sulungnya apabila menjaringkan gol kemenangan bertemu The Cats. — Facebook/penangfc
Pada Ahad lalu, semangat yang dipupuk sejak kecil itu diterjemahkan menerusi debut impian bersama Harimau Kumbang.
Coutinho mencipta kenangan manis dalam penampilan sulungnya apabila menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan sengit yang menyaksikan Penang FC menewaskan Kuching City FC 1-0 pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang.
Pemain pinjaman dari kelab Indonesia, Borneo Samarinda itu meledak gol pada minit ke-39 menerusi tandukan hasil sepakan percuma cantik rakan senegara, Erick Brandon.
“Saya sangat gembira dapat menjaringkan gol pertama dalam perlawanan pertama saya. Setiap pemain mengimpikan untuk menyerlah dengan jaringan dan kemenangan pada debut.
“Saya bangga dapat membantu pasukan, apatah lagi selepas baru beberapa hari bersama mereka,” kata Coutinho.

Barisan pemain Harimau Kumbang meraikan jaringan yang diledak oleh Coutinho. — Facebook/penangfc
Coutinho turut mendedahkan bahawa menerima tawaran Penang adalah keputusan yang mudah selain mengakui nama ‘Coutinho’ sedikit sebanyak membantu menarik perhatian kelab.
“Ada yang bertanya sama ada saya mempunyai pertalian dengan bekas pemain antarabangsa Brazil, Coutinho.
“Saya berharap begitu, tetapi malangnya tidak.
“Apabila mendengar peluang untuk beraksi bersama Penang, saya membuat kajian mengenai kelab ini, melihat banyak perkara positif dan terus menerima tawaran tersebut.
“Rakan sepasukan menyambut saya dengan baik sejak hari pertama. Pasukan ini seperti sebuah keluarga dan itu memberi inspirasi kepada saya untuk beraksi lebih cemerlang," tambahnya.
Gol kemenangan Coutinho itu sekali gus melanjutkan rentak cemerlang Penang kepada empat kemenangan berturut-turut tanpa bolos musim ini, sekali gus memberikan kelebihan tipis menjelang aksi timbal balik di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada 24 Januari nanti. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
