Dari Korea Selatan ke Selangor, Pan-gon pilih prospek 22 tahun selesaikan isu serangan?


  • Podium
  • Selasa, 27 Jan 2026

Ji-ho dilaporkan menjadi pilihan skuad Gergasi Merah bagi memperkuatkan barisan hadapan pasukan. — Instagram/Kim Ji-ho

DUA rekrut diperkenalkan Selangor FC bagi jendela perpindahan kedua Liga Super iaitu Mahame Siby dan Hugo Boumous, masing-masing sudah merasai minit permainan.

Meskipun masih belum beraksi di tahap terbaik, kehadiran mereka sudah cukup membuktikan kesungguhan skuad Gergasi Merah merebut slot ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two musim depan.

Namun, beberapa posisi masih perlu diperkuatkan sekiranya kelab Lembah Klang itu mahu menampilkan kelainan, termasuk dalam usaha menambah koleksi kejuaraan.

BACA LAGI: Dakwa dibayar cecah RM150,000 sebulan, fans gesa pengurusan Selangor umum gaji Kim Pan-gon

BACA LAGI: Bukan hanya kelab, pemain Selangor juga bersungguh-sungguh melobi Kim Pan-gon

Boumous (kanan) yang merupakan rekrut terkini skuad Gergasi Merah sudah mencipta debut buat pasukan. Instagram/Selangor FC

Hal utama ditekankan penyokong semestinya berkaitan jentera serangan yang terlalu mengharapkan penjaring terbanyak, Chrigor Moraes dan dua pasangan di sayap, Alvin Fortes dan Faisal Halim.

Kehadiran Boumous belum cukup untuk menaikkan kualiti barisan hadapan yang tempang susulan kehilangan Willian Lira dan Zach Clough pada awal pembukaan jendela perpindahan kedua.

Jadi, bagi mengatasi hal tersebut, Selangor FC perlu segera mengenal pasti calon terbaik di posisi serangan dengan harapan pemain dibawa masuk mampu mencipta kelainan.

Antara nama yang mula berlegar-legar di media sosial ialah penyerang sayap Suwon Samsung Bluewings FC, Kim Ji-ho selepas khabar angin itu dikongsikan wartawan Korea Selatan menerusi laman Instagram Sir Ho Jeong.

Dalam hantaran pada Isnin itu, pemain berusia 22 tahun tersebut dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Super kerana kehadiran Kim Pan-gon dalam skuad Gergasi Merah.

"Ji-ho yang menampilkan persembahan begitu baik selepas menyertai Suwon pada musim panas 2024 mula berdepan situasi sukar kerana begitu banyak saingan di posisinya dalam pasukan.

"Kelab dan pemain itu sendiri sudah menerima tawaran Selangor secara positif, lebih-lebih lagi selepas dia tidak boleh didaftarkan sebagai pemain Bawah 23 Tahun (B-23)," tulisnya.

Jelas wartawan itu lagi, perpindahan tersebut mungkin dimeterai dalam bentuk pinjaman selepas kedua-dua pihak mencari kata putus dalam merealisasikannya.

Ji-ho diharapkan mampu membawa kelainan dalam skuad Gergasi Merah bagi separuh kedua musim 2025/26. Instagram/Kim Ji-ho

Usia pemain tersebut yang masih muda membuatkan perpindahan kekal sukar dicapai dengan Suwon enggan kehilangan prospek muda sementara Selangor FC tidak mahu mengambil risiko begitu besar.

Sekiranya Ji-ho menjadi milik skuad Gergasi Merah, mereka pasti tampil lebih yakin untuk mengukuhkan tempat dalam carta Liga Super selain muncul pencabar dalam Piala Malaysia dan Piala Shopee.

Dalam saingan divisyen kedua Korea Selatan musim lalu, sasaran Selangor FC itu bergelut dengan hanya satu bantuan jaringan daripada sembilan penampilan.

Tetapi, kebolehannya mungkin menjadi daya tarikan buat Pan-gon dan kelab Lembah Klang berkenaan menandatanganinya memasuki fasa liga yang kian mencabar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram