JURULATIH interim Terengganu FC, Tengku Hazman Raja Hassan masih menilai tahap kecergasan dua tonggak utama pasukan menjelang aksi timbal balik pusingan 16 Piala Malaysia menentang UM Damansara.
Kedua-duanya ialah pemain pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT), Haqimi Azim Rosli dan bek kental Sang Penyu, Safwan Mazlan yang status kecergasan mereka masih dipantau rapi oleh barisan kejurulatihan.
Menurut Tengku Hazman, dia tidak mahu mengambil risiko dengan menurunkan pemain yang belum pulih sepenuhnya, sebaliknya memastikan hanya pemain benar-benar cergas diturunkan dalam perlawanan penting itu.
BACA LAGI: Pengalaman luas di Asia dan Eropah, arkitek baharu tak sabar bantu Selangor kejar kejuaraan
BACA LAGI: Tersingkir awal Indonesia Masters, beregu lelaki negara terima ugutan, jadi mangsa buli siber

Penyerang muda Harimau Malaya, Haqimi dilaporkan mengalami kecederaan (kanan belakang jersi nombor 37). — Facebook/TFC
“Kita perlu memastikan keadaan semua pemain kerana ada antara mereka yang mengalami kecederaan seperti Safwan dan Haqimi.
“Esok adalah hari terakhir untuk saya membuat keputusan sama ada mereka boleh diturunkan atau tidak,” katanya kepada Nadi Bola.
Dalam aksi pertama yang berlangsung pada 19 Januari lalu, Terengganu meraih kelebihan dua gol selepas menewaskan UM Damansara 2-0.
Satu jaringan dihasilkan oleh pemain tengah TFC, Careca pada minit keempat, manakala gol kedua hadir menerusi jaringan sendiri pemain pertahanan UM Damansara, Shivan Pillay pada minit ke-79.
Skuad Sang Peteh itu pastinya berharap dapat memanfaatkan kelebihan berkenaan untuk mengesahkan kemaraan ke suku akhir apabila kedua-dua pasukan bertemu semula di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak pada Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
