[VIDEO] Lupakan kecewa disingkir, YCL sempat peluk Nidzam Jamil, mohon fans NSFC terus beri sokongan


  • Podium
  • Isnin, 26 Jan 2026

Yusri (kiri) dan Nidzam Jamil sempat bertegur sapa selepas perlawanan kedua pusingan 16 pasukan Piala Malaysia.

JARINGAN tunggal Luqman Hakim Shamsudin dalam aksi kedua pusingan 16 pasukan Piala Malaysia memastikan Negeri Sembilan FC menang tipis 1-0 ke atas Imigresen FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Ahad.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan skuad Jang mara menerusi agregat 1-0 selepas pertembungan pertama antara kedua-dua pasukan berakhir seri tanpa jaringan.

Ini turut membuka peluang luas buat pengendali tuan rumah, Nidzam Jamil yang berpeluang membawa pasukannya lebih jauh dan membuktikan kebolehannya di mata penyokong sendiri.

BACA LAGI: 'Pressing gameplay', aksi petang jadi kelebihan Imigresen ketika bertemu Selangor

BACA LAGI: Sehari sebelum aksi bertemu Imigresen FC, Kuching City santuni penyokong cilik hidap kanser otak

Luqman Hakim (kiri) muncul watak penting ketika memastikan skuad Jang mara ke suku akhir Piala Malaysia. Facebook/Negeri Sembilan FC

Jurulatih kelahiran Kajang, Selangor itu sebelum ini diberi tekanan oleh peminat sendiri susulan prestasi tidak menentu dalam saingan Liga Super.

Kemuncak kepada isu berkenaan dapat disaksikan selepas kekalahan Negeri Sembilan FC kepada Melaka FC yang menyaksikan Nidzam bertikam lidah dengan sebahagian penyokong.

Oleh itu, kejayaan menyingkirkan Imigresen FC sedikit sebanyak memberi ruang buat pengendali Negeri Sembilan FC untuk menjawab keraguan yang terdahulu bertebaran di media sosial.

Malah, sokongan turut dihulurkan rakan sejawatnya, Yusri Che Lah yang meminta penyokong skuad Jang agar tidak hilang kepercayaan terhadap jurulatih muda itu.

Kata-kata semangat itu disuntik selepas perlawanan dengan pengendali skuad The Mighty Tigers berkenaan pantas melupakan kekecewaan atas keputusan terbabit.

"Kepada peminat Negeri Sembilan FC, sokonglah Nidzam Jamil. Sebenarnya, apa yang dibuat sudah baik dengan bajet kurang. Tahniah, aku doakan kau Nidzam," kata Yusri.

Sokongan itu kemudian disusuli dengan pelukan ringkas antara kedua-dua jurulatih berkenaan yang mempunyai hubungan begitu akrab di luar padang.

Meskipun tidak pernah bersama-sama dalam satu barisan kejurulatihan, mereka pernah berkongsi bilik persalinan ketika masih bergelar pemain kebangsaan.

Selain itu, cabaran sering dihadapi kedua-duanya tidaklah begitu berbeza kerana masing-masing pernah diberi kepercayaan membimbing pasukan dengan bajet kecil.

Ia sedikit sebanyak mencipta hubungan istimewa antara Nidzam dan Yusri yang pastinya memahami selok-belok dalam dunia kejurulatihan bola sepak tempatan.

Negeri Sembilan FC selepas ini akan berdepan Selangor FC dalam suku akhir Piala Malaysia sementara Imigresen FC berpeluang menjulang kejuaraan apabila layak ke Piala Cabaran MFL. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram