PEMAIN Manchester United, Matheus Cunha berdepan kemungkinan dikenakan hukuman selepas menjaringkan gol menentang Arsenal.
Pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pagi Isnin, waktu Malaysia, Cunha menjadi wira United apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit akhir permainan untuk tumbangkan Arsenal di laman mereka dengan keputusan 3-2.
Di saat gol itu terhasil dengan cukup baik hasil rembatan dari luar kotak penalti, Cunha melakukan kesalahan berat semasa meraikannya bersama rakan sepasukannya.
BACA LAGI: Dapat robek gawang Selangor, bek Kelantan TRW optimis peluang masih ada
BACA LAGI: Baru saja menang selepas 10 bulan, Zii Jia tersingkir Masters Indonesia
Semasa meraikan jaringan itu, Cunha pergi ke kamera berdekatan dengannya lalu mengeluarkan kata-kata kesat yang tidak sempat ditapis oleh pihak penyiar.
Walaupun apa yang diungkapnya itu tidak jelas sepenuhnya, namun masih dapat didengar perkataan yang kurang enak untuk tontonan umum.
Ia memaksa pengulas perlawanan bagi siaran Sky Sports, Peter Drury untuk memohon maaf kepada penonton yang menyaksikan aksi tersebut.
"Jika anda ada terdengar bahasa yang kurang sopan semasa gol diraikan, kami mohon maaf," ujar Drury.
Mengikut peraturan FA England, satu-satu pemain itu boleh didenda sekiranya mengeluarkan bahasa yang dianggap kasar, menghina selain mengeluarkan bahasa atau/dengan isyarat kurang sopan.
Tindakan itu jika dikesan oleh pengadil secara terus boleh menyebabkan kad merah, malah tindakan retrospektif boleh diambil seandainya ia tersiar secara langsung di televisyen.
United pernah mempunyai rekod menerima hukuman akibat perbuatan tersebut pada 2011 apabila Wanye Rooney digantung dua perlawanan akibat tindakannya semasa bertemu West Ham United.
Rooney dilihat mengeluarkan bahasa kurang sopan terhadap penyokong lawan selepas melengkap hatrik pada perlawanan tersebut dengan dia turut dikenakan denda berat oleh FA England. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
