SELEPAS hampir tiga bulan menggunakan khidmat Christophe Gamel sebagai ketua jurulatih interim, Selangor FC akhirnya mengumumkan Kim Pan-gon selaku pengendali baharu kelab.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, pengurusan Gergasi Merah sangat berharap pengalaman luas Pan-gon dapat membawa pengalaman luas pasukan ke tahap yang lebih tinggi.
Sementara itu, kenyataan berkenaan turut menjelaskan Christophe Gamel yang sebelum ini ditugaskan selaku jurulatih interim turut dinaikkan pangkat menjadi Pengarah Teknikal baharu kelab.
BACA LAGI: FAM tiada pilihan selain merayu, namun risiko tetap tinggi — Peguam
BACA LAGI: 'Jangan bawa ke CAS', TMJ dedah ada individu FIFA ugut FAM
Sebagai rekod, pengendali dari Korea Selatan itu bukan nama asing dalam kalangan peminat bola sepak tempatan selepas membimbing skuad kebangsaan bermula 2022 hingga 2024.
Jurulatih berusia 56 tahun itu meninggalkan Harimau Malaya pada Julai 2024 dan menyertai kelab gergasi Korea Selatan, Ulsan HD sebelum berpisah pada Ogos lepas susulan prestasi hambar.
Tidak dinafikan kemunculan semula Pan-gon dalam landskap bola sepak tanah air disambut baik oleh penyokong domestik, namun kepulangannya turut mencetuskan pelbagai reaksi termasuk isu kontroversi yang mula berlegar.
Seperti rancak diperkatakan di media sosial, timbul desas-desus mendakwa Gergasi Merah terpaksa berbelanja besar bagi mendapatkan khidmat jurulatih dari Korea Selatan itu.
Malah, ada pihak mendakwa Pan-gon kini disenaraikan antara jurulatih termahal dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
"Sah dan rasmi, Kim Pan-gon ke Selangor. Perpindahan ini difahamkan menjadikan KPG antara jurulatih termahal Liga Malaysia," kongsi pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam di laman X.
Ciapan itu menyebabkan penyokong Gergasi Merah menggesa agar pihak pengurusan untuk tampil berkongsi gaji Pan-gon, selain mengemukakan asbab di sebalik kesanggupan mereka berbelanja besar itu.
"Salam Selangor FC, dari info yang diperolehi kadar gaji Pan-gon adalah sekitar RM130,000-RM150,000 sebulan. Adakah perkara ini betul? Kerana mungkin pihak kelab boleh memberi deklarasi tentang isu ini.
"Sebagai kelab yang ditaja oleh kerajaan negeri sebagai penaja utama dah wang penyokong mengalir kelab semua warga Merah Kuning ada hak untuk tahu tentang perpindahan lima bintang ini.
"Bukan apa takut nanti persetujuan bersama, kita boleh tahu sapa yang untung sapa yang rugi. Dari ciapan wartawan saudara Zul ini kita faham ini jurulatih termahal Liga Super.
"Mungkin jika ada kejayaan di masa depan nanti dapat dijustifikasi dari wang yang dibelanjakan.Jadi penyokong boleh faham kenapa wang dibelanjakan sebanyak ini," tanya wakil penyokong Selangor, Danial Mazalan.
Desakan yang disuarakan oleh segelintir penyokong itu wajar diberikan penjelasan oleh pihak pengurusan, memandangkan sesebuah kelab bola sepak bukan milik individu atau kelompok tertentu semata-mata, sebaliknya menjadi hak penyokong yang setia memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
