Bukan hanya kelab, pemain Selangor juga bersungguh-sungguh melobi Kim Pan-gon


  • Podium
  • Rabu, 31 Dis 2025

Nama Pan-gon bukan asing dalam kalangan peminat tempatan selepas pernah membimbing skuad kebangsaan dari 2022 hingga 2024. — Facebook/FAM

SELAIN khabar angin kehadiran pemain baharu ke beberapa kelab Liga Super, penghujung Disember 2025 juga diserikan dengan desas-desus mengaitkan posisi jurulatih.

Antara yang sedang meniti di bibir penyokong bola sepak tanah air apabila bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon difahamkan bakal kembali ke Malaysia bagi memikul tanggungjawab sebagai ketua jurulatih kelab Liga Super.

Seperti yang dilaporkan oleh pemerhati bola sepak tanah air, Zulhelmi Zainal Azam, pengendali dari Korea Selatan berkenaan dikaitkan dengan Selangor FC bagi mengisi kekosongan posisi ketua jurulatih kelab.

BACA LAGI: 'Rumors' KPG jadi rebutan 3 gergasi Liga M termasuk TFC sudah kecoh sampai ke Korea Selatan

BACA LAGI: Kemarau kemenangan 9 aksi terakhir, nasib Pan-gon bersama Ulsan HD ibarat telur di hujung tanduk

Gergasi Merah kini dikendalikan oleh jurulatih interim, Christophe Gamel selepas kelab Lembah Klang itu menggugurkan khidmat Katsuhito Kinoshi pada September lepas.

"Kim Pan-gon is back, difahamkan bekas jurulatih Harimau Malaya itu kembali dikaitkan ke Liga Malaysia dengan sekali lagi ke Selangor selepas rundingan bersama sebuah pasukan tidak menjadi kenyataan," katanya di laman X pada Rabu.

Pan-gon kini tidak terikat dengan mana-mana kelab selepas berpisah dengan jaguh Korea Selatan, Ulsan HD dek rentetan keputusan mengecewakan hingga memaksa pihak pengurusan menggugurkan khidmatnya.

Tindakan itu tidaklah begitu mengejutkan kerana sepanjang bersama Ulsan HD, pengendali berkenaan hanya merekodkan 20 kemenangan dari 52 perlawanan secara keseluruhan.

Pan-gon membimbing skuad kebangsaan selama tiga tahun. — Facebook/FAM

Rekod kurang memberangsangkan itu bagaimanapun tidak menghakis reputasi Pan-gon sebagai jurulatih berkualiti, khususnya berdasarkan pencapaiannya ketika mengendalikan skuad Harimau Malaya dari 2022 hingga 2024.

Sepanjang tempoh tersebut, pengendali berusia 56 tahun itu merekodkan kadar kemenangan 54.3 peratus hasil 35 perlawanan kompetitif bersama pasukan kebangsaan.

Kualiti yang dimiliki Pan-gon itu juga diakui beberapa pemain kebangsaan selepas Makan Bola melaporkan terdapat beberapa tonggak tempatan dalam pasukan Gergasi Merah melobi supaya dia kembali ke Malaysia.

Namun begitu, setakat ini spekulasi berkenaan masih belum disahkan secara rasmi apabila tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh mana-mana pihak termasuk Pan-gon sendiri mahupun pengurusan Selangor FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram