SELANGOR FC II mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan Liga A1 Semi Pro 2025/26 selepas tewas di tangan Kelantan Red Warriors (KRW) FC pada Isnin.
Jaringan lewat penyerang tuan rumah, Emmanuel Mbarga pada masa kecederaan memastikan tiga mata penuh milik anak-anak buah Irfan Bakti Abu Salim.
Ini sekali gus menyaksikan jurang skuad muda Gergasi Merah di kedudukan teratas liga mula goyah selepas sebelum itu kalah di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) II.
BACA LAGI: ‘Kami bukan manusia ke?’, kelab Liga A1 kecewa pemain dicekik pengadil aksi jumpa Kedah
BACA LAGI: Dari Liga A1 ke skuad Jang, prospek warisan disebut-sebut ayam tambatan baharu NSFC
Bagaimanapun, perlawanan itu terpalit kontroversi selepas wisel penamat ditiupkan apabila pemain dan jurulatih berperang mulut di tepi padang.
Menerusi video tular di media sosial, situasi tegang berlaku sehingga memaksa pasukan keselamatan stadium masuk campur dan meredakan keadaan.
Keadaan itu kemudian dijelaskan di Facebook dengan menyatakan kata-kata kesat dan cemuhan menjadi punca di sebalik kekecohan berkenaan.
"Ya, kami kalah. Kalah bukan sahaja dengan pemain lebih berpengalaman, malah fizikalnya juga. Tetapi, yang tidak sedap didengar adalah provokasi melampau seorang dari barisan kejurulatihan mereka.
"Ya, provokasi pada setiap pemain kepada lawan ketika permainan adalah biasa, tetapi ini cerita selepas perlawanan, ketika bersalaman. Patutkah seorang manusia lebih tua umurnya, yang patut dihormati serta berteriak," tulisnya.

Penjelasan dikongsikan berhubung insiden hangat di tepi padang selepas perlawanan.
Lebih mengejutkan lagi, terdapat cemuhan terhadap ibu salah seorang pemain Selangor FC II yang sepatutnya tidak dilontarkan dalam situasi sebegitu.
Insiden sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana kata-kata sensitif itu boleh menjejaskan motivasi dan moral pemain yang rata-ratanya masih berusia bawah 21 tahun.
"Adakah mereka tidak menganggap anak-anak ini seperti anak dan cucu mereka sendiri? Fikirkanlah, semoga satu hari nanti individu itu menerima balasan," katanya.
Situasi itu bagaimanapun dapat dikawal dengan pihak pengurusan KRW sempat menikmati juadah makan malam bersama pihak lawan.
Namun, meskipun tiada insiden lebih teruk berlaku, hal-hal sebegitu tidak sepatutnya tercetus kerana langsung tidak mencerminkan semangat kesukanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
