'Pressing gameplay', aksi petang jadi kelebihan Imigresen ketika bertemu Selangor


  • Podium
  • Ahad, 05 Okt 2025

Skuad Imigresen (jersi hijau) mampu memberikan cabaran sengit kepada Selangor (jersi merah). — Agensi

SELANGOR FC meneruskan misi mereka membaiki kedudukan dalam Liga Super apabila mereka bertemu Imigresen FC dalam perlawanan yang diadakan pada Ahad.

Selepas aksi longlai di peringkat Asia, Selangor perlu menang dalam aksi liga supaya mereka tidak ketinggalan jauh dalam perebutan kedudukan dua terbaik.

Namun berdepan Imigresen di Stadium Negeri, Batu Kawan, Pulau Pinang bukannya satu perkara mudah kerana kelab itu mempunyai kelebihan tersendiri untuk menyusahkan pihak lawan.

BACA LAGI: Tak mahu tuding jari, Faisal desak skuad Selangor bertanggungjawab lepas tersungkur di Asia

BACA LAGI: Enggan dilabel pelengkap jadual, Imigresen FC contohi 'bulat-bulat' DNA Perak FC ketika 3 tahun lepas

Corak permainan pressing

Imigresen walaupun tidak mencuri tumpuan seperti Kuala Lumpur City FC atau Kuching City FC, masih memberikan cabaran yang getir kepada lawan mereka.

Salah satu sebabnya adalah corak permainan Imigresen yang melakukan tekanan tinggi terhadap pihak lawan yang sedang menguasai bola.

Dapat dilihat dalam corak permainan diterapkan oleh Yusri Che Lah, tekanan tinggi yang dilakukan terutamanya di kawasan tengah padang berjaya membantu Imigresen mendapatkan semula bola dan menyerang balas.

Jika Selangor kalah dalam pertarungan di tengah, sudah pasti mereka mengalami kesukaran untuk mendapatkan hasil positif dalam perlawanan itu.

Pertahanan kanan harus bersedia

Salah satu pemain yang harus bekerja keras untuk memastikan gawang Selangor tidak bocor pada Ahad adalah pertahanan kanan.

Hal ini kerana, Imigresen mempunyai kecenderungan untuk menyerang dari sayap kiri dan sekali gus menguji pertahanan kanan lawan.

Dengan serangan tersebut juga, Imigresen berjaya mendapatkan gol terutamanya ketika menewaskan Terengganu FC pada aksi Piala FA.

Oleh itu, pertahanan kanan harus bersedia kerana jika tidak, pemain itu boleh menjadi 'lubuk' buat pemain Imigresen.

Kelebihan beraksi petang

Musim ini, setiap kelab yang bertandang ke Batu Kawan harus bermain pada waktu petang kerana faktor teknikal dihadapi Imigresen.

Oleh itu, Selangor akan sekali lagi beraksi pada waktu petang dengan keputusan kebelakangan ini tidak begitu memihak mereka.

Sebelum ini, mereka tumpas Bangkok United dan Lion City Sailors di peringkat Asia dengan kedua-dua aksi diadakan pada sebelah petang.

Malah, semasa bertemu Kuching City di Sarawak, Selangor turut tumpas menerusi jaringan tunggal Ramadhan Saifullah.

Selangor berdepan satu lagi cabaran bermain pada sebelah petang dan mereka harus menang untuk mendapatkan kepercayaan semula penyokong. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram