Sehari sebelum aksi bertemu Imigresen FC, Kuching City santuni penyokong cilik hidap kanser otak


  • Podium
  • Ahad, 28 Sep 2025

Rizqi disambut mesra oleh para pemain The Cats yang memberi perhatian penuh serta berkongsi detik bermakna bersama peminat cilik itu. — Facebook/kuchingcityfc

SKUAD Kuching City FC berasa amat berbesar hati menerima kunjungan istimewa daripada Muhammad Rizqi Fizaniel Abdul Nazif, seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dari Asajaya, Samarahan, Sarawak yang sedang berjuang melawan kanser otak.

Berita gembira itu dikongsikan oleh Kuching City di laman rasmi Facebook yang berkongsikan bahawa Rizqi dijemput untuk bertemu dengan keluarga besar Kuching City FC di Stadium Negeri, Sarawak pada Sabtu.

Kunjungan Rizqi datang sehari sebelum pasukan The Cats beraksi menentang Imigresen FC dalam saingan Liga Super di gelanggang sendiri pada Ahad.

BACA LAGI: Pelik tapi benar, Sabah-Penang terikut jejak 2 pendatang baharu Liga Super

BACA LAGI: 'Kami tahu penyokong kecewa’, bek Selangor harap aksi lawan Tampines Rovers pengubat hati fans

Antara momen manis Rizqi bersama barisan pemain The Cats. — Facebook/kuchingcityfc

"Rizqi merupakan peminat setia Kuching City FC sejak kecil. Impiannya adalah untuk bertemu secara langsung dengan para pemain dan merasai pengalaman berada di stadium tempat pasukan kesayangannya beraksi.

"Dengan sokongan daripada Persatuan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS), impian Rizqi berjaya direalisasikan, sekali gus membawa kegembiraan kepada dirinya dan seluruh keluarga Kuching City FC," kata kelab tersebut.

Sepanjang kunjungan tersebut, Rizqi disambut mesra oleh para pemain dan pegawai kelab yang memberi perhatian penuh serta berkongsi detik bermakna bersama peminat cilik itu.

Selain itu, Rizqi turut berpeluang merasai suasana stadium secara dekat, melihat fasiliti kelab dan merakam kenangan yang pastinya menjadi sumber motivasi untuknya.

Kejayaan merealisasikan impian Rizqi bukan sahaja menggembirakan dirinya, malah turut memberi inspirasi kepada semua yang berjuang melawan kanser khususnya kanak-kanak yang menghadapi cabaran serupa.

Kuching City FC menyeru semua pihak agar bersama-sama mendoakan kesembuhan Rizqi dan anak-anak lain yang sedang berjuang melawan penyakit kanser dengan penuh keberanian.

"Marilah kita sama-sama mendoakan agar Rizqi sembuh, begitu juga dengan anak-anak lain yang tabah melawan kanser," ujarnya lagi.

Kunjungan istimewa Rizqi juga dianggap sebagai suntikan semangat buat pemain Kuching City FC menjelang perlawanan penting menentang Imigresen FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram