ISU keputusan pengadil yang didakwa berat sebelah dilihat semakin sinonim dengan kancah bola sepak domestik sama ada di peringkat Liga Super mahupun saingan divisyen kedua.
Situasi sama kembali mencuri perhatian ketika aksi Liga A1 Semi Pro yang mempertemukan Machan FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC baru-baru ini, apabila perlawanan berkenaan berlangsung dalam suasana tegang antara kedua-dua pasukan.
Ketegangan memuncak apabila kelab dari Sarawak itu mendakwa pengadil perlawanan bertindak di luar batas dengan mencekik salah seorang pemain Machan FC ketika insiden panas tercetus di atas padang.
BACA LAGI: Dari Liga A1 ke skuad Jang, prospek warisan disebut-sebut ayam tambatan baharu NSFC
BACA LAGI: Skuad 'feeder' tak layak, Kedah-Perak antara 5 pasukan Liga A1 buru slot Piala Malaysia
Menerusi Insta Story rasmi kelab, Machan FC meluahkan rasa kecewa terhadap pengadil bertugas, Mohd Izwan Abdullah susulan tindakannya yang didakwa gagal mengawal emosi ketika mengendalikan perlawanan tersebut.
"Kami faham pengadil pun manusia. Ada emosi, ada tekanan dan kadang-kadang susah nak kawal. Tapi boleh ke sampai cekik pemain? Is Machan FC player bukan manusia ke?
"Kami datang nak bermain bola. Bukan untuk diperlukan macam ini. Hormati permainan. Hormati pemain,” tulis kelab berkenaan sambil memuat naik sekeping foto yang didakwa memaparkan Mohd Izwan sedang mencekik pemain Machan FC.
Perkongsian itu mendapat perhatian penyokong bola sepak tempatan, dengan ramai menggesa Liga Bola Sepak Amatur (AFL) selaku penganjur agar menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap insiden berkenaan.
Namun, AFL masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut setakat ini.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Tuah, Melaka pada Jumaat itu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Selain insiden berkenaan, Machan FC turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan apabila dua pemain mereka, Muhammad Akhir dan Midhyaf Mifdhal, dilayangkan kad merah sepanjang perlawanan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
