[VIDEO] Kontroversi pengadilan ranapkan misi Selangor II balas dendam 'skuad abang'


  • Podium
  • Selasa, 06 Jan 2026

Tangkap layar dari perlawanan tersebut yang menyaksikan bola tidak sepenuhnya melepasi garisan gol Selangor FC II.

PENDAHULU Liga A1 Semi Pro, Selangor FC II mengalami kekalahan pertama musim ini selepas tumpas di tangan pencabar utama, Johor Darul Ta'zim (JDT) II pada Isnin.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium MP Sepang, Selangor tersebut, pasukan pelawat hanya memerlukan satu gol menerusi Alif Ahmad pada minit ke-48 bagi meraih tiga mata penuh.

Usaha skuad muda Gergasi Merah untuk mengikat kedudukan tidak kesampaian apabila JDT II bertahan dengan disiplin cemerlang sepanjang baki perlawanan.

BACA LAGI: Dari Liga A1 ke skuad Jang, prospek warisan disebut-sebut ayam tambatan baharu NSFC

BACA LAGI: Skuad 'feeder' tak layak, Kedah-Perak antara 5 pasukan Liga A1 buru slot Piala Malaysia

Bagaimanapun, pertembungan epik itu tidak terkecuali daripada kontroversi selepas peminat menyedari gol berkenaan tidak sepatutnya diberikan.

Ini selepas ulang tayang perlahan mendapati percubaan awal terkena tiang sebelum lantunan semula sempat ditangkap kemas penjaga gol Selangor FC II, Azim Al-Amin.

Namun, situasi tersebut gagal disedari petugas perlawanan yang kemudiannya mengesahkan jaringan tanpa sebarang protes dibuat tuan rumah.

Insiden itu kemudian disedari peminat bola sepak tempatan dengan masing-masing mempertikaikan mutu pengadilan sehingga gagal menyedari perkara terbabit.

"Macam mana itu boleh dikira gol? Seriuslah ref, kau ni buat orang ramai kecam JDT sahaja. Dah boleh denda pengadil itu, memang mengarut," kata The Ramahe Dope.

Kekalahan kepada JDT II tidak mengganggu kedudukan Selangor FC II dalam carta.Facebook/AFL

"Datang stadium tadi, sempat rekod gol. Tetapi, kalau dari video, nampak bola macam atas garisan bukan?" soal Muhammad Afif Idris.

Kekalahan itu sekali gus menyaksikan misi Selangor FC II membalas dendam atas kekecewaan pasukan utama yang tewas di tangan JDT pada Ahad tidak kesampaian.

Terdahulu dalam aksi Liga Super, skuad utama Gergasi Merah ditundukkan di laman sendiri menerusi keputusan 0-2 yang pasti menyulitkan usaha mereka untuk layak ke pentas Asia musim depan.

Bagi Selangor FC II pula, kekalahan itu tidak menggugat kedudukan mereka di tangga teratas Liga A1 Semi Pro dengan kelebihan tiga mata masih dimiliki berbanding pencabar terdekat JDT II. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram