[VIDEO] Padah 'kungfu' pemain hingga parah, keeper liga bawahan Indonesia digantung seumur hidup


  • Podium
  • Jumaat, 23 Jan 2026

Raihan (tengah) dikenakan hukuman larangan bermain seumur hidup selepas didapati bersalah melakukan kekasaran melampau dengan menendang dada Rizal Dimas (kanan). — Agensi

JAWATANKUASA Disiplin (Komdis) Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) menjatuhkan hukuman berat ke atas penjaga gol PSIR Rembang, Raihan Al Fariq, susulan insiden tendangan berbahaya dalam perlawanan Liga 4 Jawa Tengah baru-baru ini.

Raihan dikenakan hukuman larangan bermain seumur hidup serta denda sebanyak Rp5 juta (RM1,200) selepas didapati bersalah melakukan kekasaran melampau dengan menendang dada pemain Persikaba Blora, Rizal Dimas Agesta.

Insiden itu berlaku dalam aksi Liga 4 Jawa Tengah antara PSIR Rembang menentang Persikaba Blora di Rembang, Rabu lalu yang mencetuskan kecaman meluas dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

BACA LAGI : [VIDEO] Tak ubah seperti aksi 'Shaolin Soccer', pemain liga bawahan Indonesia parah ditendang di dada

BACA LAGI : FAM tiada pilihan selain merayu, namun risiko tetap tinggi — Peguam

Rakaman video jelas menunjukkan Raihan melakukan tendangan ala kungfu ke arah dada Rizal Dimas ketika cuba mengamankan bola, menyebabkan pemain berkenaan rebah dan tidak mampu meneruskan perlawanan.

 

 

 

Akibat tendangan itu, Rizal Dimas terpaksa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Video detik cemas berkenaan turut dimuat naik di akaun Instagram rasmi Persikaba Blora dan tular di media sosial.

Menurut laporan BolaSport.com yang memetik Tribun Jateng, Rizal Dimas mengalami trauma serta kecederaan di dada akibat tendangan tersebut.

"Posisi pemain kini sedang menjalani rawatan jalanan di bawah pemantauan doktor

"Hasil pemeriksaan X-ray masih dalam fasa pemerhatian untuk dua hingga tiga hari akan datang. Diharapkan keadaannya bertambah baik," kata wakil pengurusan Persikaba, Umbaran.

Umbaran turut memaklumkan bahawa Rizal Dimas masih mengalami trauma mental dan memerlukan tempoh pemulihan, sekali gus tidak mengikuti sesi latihan serta berehat sementara di rumah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram