SATU perkongsian tular di platform Threads mendedahkan taktik penipuan baharu menggunakan kaedah bayaran tunai semasa penghantaran (COD) yang dipercayai menyasarkan warga emas, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Menurut dakwaan pengguna Threads, osmanhanapi, kejadian berlaku apabila seorang individu menaiki kereta Perodua Myvi berwarna merah menghantar barangan COD bernilai RM199 atas nama ibunya ketika wanita itu tiada di rumah.
"Ketika itu memang terlintas untuk menghubungi mak bagi pengesahan, tetapi entah kenapa terus bayar," dakwanya dalam perkongsian berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] 'ALLAH tak panggil yang tak mampu tapi yang mahu', penjual serai sujud syukur tunai umrah
BACA LAGI: [VIDEO] Kemaruk nak jadi pramugari, tembelang wanita Palembang di awan biru terbongkar
Dakwanya, tingkah laku penghantar barangan itu mencurigakan apabila tidak mengambil gambar sebagai bukti penghantaran, tidak mengira wang dengan betul, malah bertindak tergesa-gesa mahu beredar.
Selepas disahkan oleh ibunya, barulah mereka menyedari menjadi mangsa penipuan.
Osmanhanapi turut meluahkan rasa terkilan kerana mendakwa ibunya langsung tidak pernah bersetuju membeli sebarang produk, sama ada secara lisan mahupun bertulis.
"Mak saya seorang yang sangat comel dan tidak bersalah. Berkali-kali saya ingatkan supaya tidak sewenangnya panggilan nombor tidak dikenali.
"Namun, tidak sangka perkara ini tetap berlaku kepada mak saya sendiri.
"Bagaimana kami yakin ini adalah satu penipuan?
"Mak tidak memberikan sebarang persetujuan, sama ada secara lisan mahupun bertulis, untuk membeli produk ini. Bertanya dalam talian bukan satu klausa persetujuan untuk pembelian," katanya.
Dia percaya kejadian itu melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010, memandangkan ibunya tidak pernah memberikan sebarang maklumat peribadi seperti nama atau alamat bagi tujuan pembelian.
"Menghantar barang dan memaksa pengguna membuat bayaran tanpa persetujuan jelas adalah satu kesalahan. Persoalannya, berapa ramai warga emas yang sudah menjadi mangsa?” soalnya.
Dia turut membuat anggaran kerugian sekiranya taktik sama digunakan secara berterusan.
"Jika seorang mangsa ditipu hampir RM200, dan lima mangsa sehari, jumlahnya boleh mencecah RM30,000 sebulan," dakwanya.
Sehubungan itu, keluarga berkenaan menuntut bayaran balik penuh dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas bagi membendung penipuan seumpama ini, khususnya demi melindungi golongan warga emas.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan dari pihak berkuasa atau mana-mana pihak yang terlibat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
