[VIDEO] Pelajar datang sekolah hanya berselipar, guru 'korbankan' kasut kesayangan


  • Tular
  • Isnin, 19 Jan 2026

Tangkap layar Akram memberikan sepasang kasut berjenama kepada seorang pelajarnya baru-baru ini.

PENGORBANAN seorang guru terhadap anak pelajarnyanya sering kali membawa kesan mendalam, lebih-lebih lagi apabila ia lahir daripada keprihatinan terhadap kesusahan seorang kanak-kanak sejak kecil.

Bagi sesetengah pihak, tugas guru hanya terhad kepada mendidik di kelas dan menilai prestasi akademik pelajar. Namun bagi Akram Ishak, tanggungjawab itu jauh melangkaui itu.

Dia sanggup menyeberangi batas profesional untuk memastikan pelajarnya bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan sukan, malah dibesarkan dengan kasih sayang, perhatian, serta dorongan moral yang diperlukan.

BACA LAGI : [VIDEO] 'The real Papa Zola', rider terpaksa kendong bayi sambil bekerja angkara faktor kewangan

BACA LAGI : [VIDEO] 'ALLAH tak panggil yang tak mampu tapi yang mahu', penjual serai sujud syukur tunai umrah

Kisahnya baru-baru ini tular di media sosial selepas Akram berkongsi pengalaman menyentuh hati mengenai seorang pelajar yang diuji dengan kehidupan penuh cabaran sejak kecil.

Perkongsian itu turut mengundang sebak warganet dan memberi inspirasi kepada ramai.

Menurut Akram, pelajar berkenaan hadir ke sekolah hanya berselipar kerana keluarganya kurang berkemampuan untuk membeli kasut baharu. Lebih memilukan, kanak-kanak itu merupakan anak yatim selepas ibunya meninggal dunia, manakala bapanya bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk menampung kehidupan keluarga.

 

 

Pelajar tersebut juga mempunyai beberapa adik-beradik dan kini menetap di rumah datuknya.

"Abang dia dua orang juga merupakan pelajar saya,” tulis Akram dalam perkongsian itu.

Walaupun hidup dalam serba kekurangan, tiga beradik ini mempunyai bakat dalam sukan bola sepak dan sering menunjukkan prestasi cemerlang setiap kali beraksi di padang.

"Depa tiga beradik ni memang pandai main bola. Sebab itu saya ambil mereka wakil sekolah," katanya.

Keprihatinan Akram tidak berhenti di situ. Dia sanggup menghadiahkan sepasang kasut sukan berjenama miliknya kepada pelajar tersebut supaya kanak-kanak itu dapat terus aktif dalam sukan yang diminatinya.

Walaupun kasut itu merupakan kesayangannya, Akram tidak keberatan mengorbankannya demi kebajikan dan semangat pelajar berkenaan. 

Perkongsian penuh keikhlasan itu nyata menyentuh hati ramai warganet walaupun tidak dinyatakan lokasi sebenar sekolah tersebut.

Rata-rata memuji pengorbanan guru berkenaan dan mendoakan agar tiga beradik itu terus berjaya dalam kehidupan meskipun berdepan pelbagai cabaran sejak usia muda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram