NIAT menyediakan penginapan yang selesa bertukar menjadi pengalaman pahit apabila seorang pengusaha sebuah rumah inap desa (homestay) mendakwa kediaman miliknya yang berlokasi di Sepang, Selangor dijadikan tempat persembunyian kumpulan penyamun baru-baru ini.
Menerusi satu perkongsian tular di Facebook pada Rabu, lelaki dikenali sebagai Arif Asri berkata, insiden itu terbongkar selepas dia menerima panggilan telefon daripada pihak polis yang kemudiannya disusuli kehadiran jiran-jiran ke homestay berkenaan .
Arif mendakwa homestay berkenaan dipercayai dijadikan tempat penginapan sekurang-kurangnya tiga keluarga yang terlibat dalam kegiatan samun, malah lebih mengejutkan apabila terdapat kanak-kanak kecil bersama kumpulan terbabit.
BACA LAGI : [VIDEO] Pelajar datang sekolah hanya berselipar, guru sanggup 'korbankan' kasut kesayangan
BACA LAGI : [VIDEO] 'The real Papa Zola', rider terpaksa kendong bayi sambil bekerja angkara faktor kewangan
"Selama hampir setahun urus homestay, semuanya tenang dan biasa-biasa.
"Tapi hari ini ALLAH beri pengalaman mahal untuk saya simpan. Dunia jadi kelam-kabut sekejap bila dapat tahu homestay saya jadi markas penyamun," katanya.

Tangkap layar perkongsian Arif Asri di Facebook miliknya.
Arif mengakui langsung tidak mengesyaki apa-apa kerana kumpulan berkenaan datang secara berkeluarga, berkelakuan seperti tetamu biasa dan membuat bayaran penuh untuk lapan malam penginapan.
"Bayaran pun cantik, terus bayar. Siapa sangka niat sebenar mereka. Yang buat hati lagi tergamam… siap ada anak kecil. Ya ALLAH," katanya.
Bagaimanapun, dia memaklumkan keadaan rumah tidak mengalami kerosakan serius, cuma sedikit bersepah dipercayai akibat kanak-kanak bermain, selain dapur yang tidak sempat dikemas kerana kumpulan tersebut ditahan polis baru-baru ini.
"Kes saya serahkan sepenuhnya kepada pihak polis. Biar mereka uruskan," katanya lagi.
Dalam perkongsian sama, Arif berkata kejadian itu membuka matanya tentang kepercayaan dan realiti kehidupan sebagai pengusaha homestay.
"Daripada kira-kira 200 kali orang menginap, kebanyakannya untuk umrah, haji, pengajian atau urusan kerja. Hanya satu kes sahaja melibatkan jenayah.
"Kalau ikut statistik, ini baru 0.5 peratus ‘defect’ (kerosakan)," ujarnya.
Arif berkata, kejadian tersebut dijadikan pengajaran untuk memperbaiki sistem pengurusan dan keselamatan homestay, selain meneruskan kehidupan dengan lebih berhati-hati.
"Tak semua dalam hidup ini manis. Ada pahit yang datang tanpa jemputan. Yang penting, ambil iktibar, perbaiki sistem dan jalan terus," katanya.
Setakat berita ini ditulis, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
