FAM tiada pilihan selain merayu, namun risiko tetap tinggi — Peguam


  • Podium
  • Jumaat, 02 Jan 2026

Rayuan itu pada hakikatnya tidak dapat dielakkan oleh FAM, tanpa mengira kekuatan hujah undang-undang.

KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mencabar hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bukan sekadar langkah perundangan, sebaliknya dianggap sebagai keperluan politik.

Bagaimanapun peguam sukan, Etienne Rizk berkata, peluang untuk terlepas daripada hukuman dilihat tetap sukar berdasarkan pengakuan yang sudah dibuat sebelum ini. 

Rizk yang berpengalaman luas mengendalikan kes di CAS menjelaskan, keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA mengesahkan kekalnya hukuman terhadap FAM serta tujuh pemain kacukan yang terlibat, termasuk denda 350,000 franc Swiss (RM1.8 juta) terhadap badan induk berkenaan.

BACA LAGI : ‘Dalam bola sepak moden, tak boleh terikat satu posisi saja’, Moraes selesa pikul 3 peranan bersama Selangor

BACA LAGI : [VIDEO] 'Bola sepak dalam Malaysia memang....', isteri pemain Kelantan FA luah kecewa isu gaji, dakwa bola sepak tempatan tidak terjaga

"Keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA  mengesahkan hukuman terhadap FAM dan para pemain," katanya.

Menurutnya, FAM kini mengemukakan rayuan ke CAS, namun tidak pasti sama ada para pemain turut mengambil langkah yang sama.

Jika hanya FAM memfailkan rayuan, jelas beliau, CAS perlu menilai semula keseluruhan kes dengan memberi tumpuan utama kepada persoalan sama ada berlaku kesalahan dalam proses naturalisasi pemain.

Peguam sukan, Etienne Rizk

Rizk menjangka FAM akan mengulangi serta memperkemas hujah undang-undang yang dikemukakan di peringkat FIFA, selain cuba membuktikan tidak wujud salah laku terancang dalam pentadbiran mereka, langkah yang berpotensi mengurangkan atau menarik balik hukuman kewangan.

Beliau menegaskan, rayuan itu pada hakikatnya tidak dapat dielakkan oleh FAM, tanpa mengira merit undang-undang.

"FAM tiada pilihan, dari sudut politik, selain merayu keputusan FIFA," kata peguam dari Perancis itu.

Mengulas peluang FAM di CAS, Rizk berkata, keputusannya suka diramal tanpa meneliti keseluruhan bukti, namun menegaskan keputusan rayuan FIFA sebelum ini adalah 'lengkap dan bersebab', menunjukkan badan dunia itu telah memberikan justifikasi menyeluruh terhadap dapatan mereka.

Antara kelemahan ketara yang dikenal pasti dalam kedudukan FAM termasuk penglibatan terhad pemain dalam proses naturalisasi, kenyataan bercanggah sepanjang prosiding, serta yang paling penting beberapa pengakuan daripada pihak FAM sendiri.

"Salah satu isu utama ialah pengakuan Setiausaha Agung FAM bahawa ada pegawai pentadbiran terbabit mengendalikan dan mengatur salinan sijil kelahiran tertentu, termasuk mengubah kandungan.

"Dalam konteks itu, berdasarkan fakta kes dan apa yang telah diakui FAM, sukar untuk melihat FAM boleh terlepas sepenuhnya daripada hukuman," katanya.

Walaupun begitu, Rizk berpandangan rayuan tersebut tetap penting dari sudut institusi.

"Pada pandangan saya, FAM perlu mempertahankan diri sebagai sebuah institusi.

"Proses ini ialah cara untuk bertindak secara bertanggungjawab dan menunjukkan bahawa jika wujud sebarang salah laku, FAM bertindak dengan serius dan matang," ujarnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram