SETIAP daripada kita pasti diuji dengan pelbagai masalah hidup. Ada yang ringan, ada yang berat sehingga menguji ketahanan mental dan fizikal seseorang.
Namun, adakalanya musibah yang menimpa orang lain bukan sekadar berita untuk ditonton atau dibaca, tetapi menjadi pengajaran serta peringatan buat kita sendiri supaya lebih bersyukur.
Begitulah kisah menyentuh hati seorang penunggang p-hailing yang tular di media sosial, apabila rakaman video memaparkan dia membawa bayi kecil bersamanya ketika mencari rezeki pada waktu awal pagi.
BACA LAGI: Warga emas dakwa rugi RM199 angkara penipuan ‘COD’, keselamatan data dipersoal
BACA LAGI: [VIDEO] 'ALLAH tak panggil yang tak mampu tapi yang mahu', penjual serai sujud syukur tunai umrah
Situasi itu menimbulkan rasa sebak ramai warganet, kerana jelas terlihat pengorbanan seorang bapa yang sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan anaknya terjaga, walaupun dalam keadaan serba kekurangan dan terpaksa bekerja dalam cuaca yang tidak menentu.
Perkongsian yang dimuat naik oleh pengguna Threads, scha.sham, memaparkan rider berkenaan berhenti di sebuah persimpangan lampu isyarat dengan bayinya yang jelas kelihatan berada di hadapan.
"Wehhh abang ini buat G**b bawak baby ke? Pagi-pagi dah 'banjir' tengok kaki comel itu.
"Semoga ALLAH mudahkan segala urusan abang dan dimurahkan rezeki abang," katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya berkongsi rasa simpati dan mendoakan kesejahteraan lelaki berkenaan.
Seorang pengguna Threads, aminsmart02, yang mengaku mengenali penunggang motosikal tersebut, menjelaskan lelaki itu membawa anaknya atas faktor kewangan.
"Dia jiran lama saya dan kami masih berhubung. Buat masa ini dia memang bawa anak sebab faktor kewangan.
"Isterinya pula bekerja mengikut syif, jadi dia yang menjaga anak sambil bekerja sebagai rider sepenuh masa," jelasnya.
Seorang waga maya, akuayiehardcore turut mengimbau kisahnya sendiri ketika membawa anak ke mana sahaja semasa bekerja.
"Perit itu tak payah cerita. Anak dalam carrier bag, naik motor, naik kemudahan awam dan hujan panas kami redah bersama.
"Saya yakin masa itu ALLAH menjaga kami berdua. Moga abang ini dan bayinya sentiasa dijaga ALLAH SWT," tulisnya.
Sementara itu seorang lagi pengguna Threads, apithafizzz menggambarkan lelaki tersebut sebagai watak animasi Papa Zola yang sebenar kerana sanggup berkorban apa sahaja demi keluarga.
"The real Papa Zola," tulisnya.
Seorang lagi warganet, itsyaz.san_, meluahkan kebimbangan mengenai keselamatan dan keselesaan bayi berkenaan:
"Sungguh kasihan, budak itu masih kecil tetapi terpaksa dibawa merata-rata dalam cuaca sejuk. Kalau dia menangis dan mahukan susu, bagaimana agaknya?
"Tolonglah usahakan supaya bayi itu dihantar ke pengasuh atau dijaga dengan lebih selamat. Kedua-dua ibu bapa bekerja, jangan biarkan anak kecil berada dalam keadaan sebegitu," katanya.
Kisah itu mendapat perhatian ramai kerana ia menonjolkan pengorbanan seorang ayah yang sanggup berkorban demi keluarga, sekali gus menjadi inspirasi dan peringatan tentang nilai kasih sayang dan tanggungjawab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
