[VIDEO] Tak tahan asyik kena 'pau' duit, lelaki sumbat jasad wanita dalam peti besi, hantar ke rumah isteri ke-2


  • Benua
  • Isnin, 19 Jan 2026

(Gambar kecil) Preeti (kiri) dibunuh dengan kejam Ram Singh Parihar (kanan) dan mayatnya dibakar dalam sebuah peti besi warna biru. — Agensi

SEORANG lelaki warga emas yang juga bekas kakitangan kereta api didakwa membunuh pasangan wanita yang tinggal bersamanya sebelum mayat mangsa disumbat ke dalam sebuah peti besi dan dibakar dalam kejadian menggemparkan di Jhansi, Uttar Pradesh, India, awal bulan ini.

Suspek, Ram Singh Parihar, 65, dipercayai membunuh mangsa berusia 35 tahun, Preeti, kerana tidak tahan sering diminta wang yang mencecah ratusan ribu rupee.

Siasatan awal mendapati mangsa sebelum itu beberapa kali meminta sejumlah besar wang daripada suspek.

BACA LAGI : [VIDEO] Kasih seorang ibu, wanita nekad terjun ke laut selamatkan anak di Bahamas

BACA LAGI : [VIDEO] Syif terakhir, pekerja kilang di China maut tak sempat selamatkan diri dihempap besi

Bagi menghapuskan bukti, Parihar didakwa membakar mayat mangsa di dalam peti besi logam sebelum mengumpul abu pembakaran ke dalam guni dan membuangnya ke dalam sungai berhampiran.

Baki tulang serta sisa lain kemudiannya cuba dipindahkan ke rumah isteri keduanya, Geeta.

Hasil siasatan polis mendapati suspek menjalani kehidupan berpoligami dengan berkahwin dua.

Isteri pertamanya menetap di kawasan Sipri Bazaar manakala isteri kedua tinggal di kawasan City Kotwali, masih dalam daerah yang sama.

Kejadian terbongkar selepas seorang pemandu lori kecil atau ‘loader’ berasa curiga ketika diminta mengangkut sebuah peti besi berwarna biru ke rumah Geeta pada Sabtu.

 

 

Pemandu terbabit, Jaysingh Pal, kemudian bertindak menghubungi polis selepas menurunkan peti berkenaan.

"Saya diupah sekitar 400 rupee (RM18) untuk mengangkut barang.

"Sejak awal lagi saya rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan peti itu, lebih-lebih lagi melihat tingkah laku mereka," katanya kepada polis.

Polis yang tiba di lokasi kemudian memecahkan peti besi tersebut dan menemukan sisa rangka manusia yang hangus terbakar, serpihan tulang serta bahan seperti arang.

Ketua Polis Daerah (City) Jhansi, Preeti Singh berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pemandu lori sebelum menemui bukti mengejutkan itu.

Menurutnya, isteri kedua suspek memaklumkan bahawa Parihar mengadu diganggu dan diperas wang oleh wanita yang tinggal bersamanya.

"Siasatan forensik sedang dijalankan. Dua individu termasuk anak suspek ditahan bagi membantu siasatan, manakala suspek utama masih diburu," katanya.

Polis percaya pembunuhan itu berlaku sekitar 8 Januari lalu.

Jiran suspek turut memaklumkan terdapat bau pelik beberapa hari sebelum kejadian, namun menyangka ia hanya pembakaran kayu untuk memanaskan badan ketika cuaca sejuk.

Kes disiasat sebagai kes bunuh dan laporan polis dibuat oleh bekas suami mangsa. Pihak berkuasa kini giat memburu suspek utama bagi membantu siasatan lanjut. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram