SEBAGAI pembuka acara larian bagi 2026, Twincity Marathon 2026 bukanlah acara yang asing bagi penggemar aktiviti sukan itu dalam negara.
Malah, saban tahun, jumlah penyertaan yang dicatatkan menunjukkan peningkatan ketara melibatkan peserta daripada seluruh pelusuk dunia.
Jika pada 2025 seramai 13,000 peserta sudah mendaftar untuk menyertai acara Twincity Marathon, pada tahun ini, acara itu berjaya menarik penyertaan lebih daripada 21,000 orang daripada 33 buah negara.
BACA LAGI: PJ Half Marathon 2024 tarik 8,000 peserta 39 negara
BACA LAGI: Galas tanggungjawab sebagai jurunavigasi, Permaisuri Thailand bakal bertanding di sukan SEA 2025

Peserta jarak 42 kilometer memulakan larian sebaik dilepaskan pada acara larian Twincity Marathon 2026 yang berlangsung di Dataran Putrajaya baru-baru ini.
Pengarah Urusan Ten Senses (M) Sdn. Bhd. (Ten Senses), Mohd Bukhairi Ismail yang juga penganjur edisi kali ini berkata, pihaknya mengakui agak terkejut dengan sambutan yang diberikan oleh para peserta bagi acara yang sudah memasuki edisi ke-11 penganjurannya sejak 2014.
“Kami telah membuka pendaftaran bagi semua kategori seawal Jun 2025 dan merancang untuk membukanya sehingga Disember dengan sasaran awal seramai 18,000 penyertaan.
“Namun, pada November, kami terpaksa menutup pendaftaran disebabkan jumlah penyertaan sudah melebihi 21,000 orang berbanding edisi 2025 yang mencatatkan lebih 13,000 penyertaan.
“Jumlah penyertaan yang ramai ini mungkin disebabkan peningkatan dari segi jumlah mereka yang semakin aktif dalam acara larian, selain jenama ‘Twincity Marathon’ yang semakin kukuh sebagai salah satu acara larian maraton yang terkemuka di negara ini.
“Mungkin, atas dasar itulah ramai peserta yang menjadikan Twincity Marathon sebagai medan untuk menguji kemampuan diri masing-masing setelah sekian lama berlatih,” katanya.

Pemenang acara 42 kilometer terbuka lelaki berjaya membawa pulang hadiah wang tunai.
Mengulas lanjut, Mohd. Bukhari berkata, bagi edisi 2026 yang berlangsung pada 17 dan 18 Januari di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya, terdapat enam jarak larian yang ditawarkan melibatkan larian 3 kilometer (km), 5km, 10 km, 12 km, 21km dan 42km.
Tiga lagi kategori iaitu 10km, 5km dan 3km menyaksikan masing-masing disertai seramai 1,300 peserta, 1,500 peserta dan 200 peserta.
“Berbanding tahun lalu, kami melakukan sedikit perubahan pada laluan larian bagi membolehkan peserta menikmati pemandangan yang berbeza di sepanjang laluan larian berbanding tahun-tahun sebelum ini.
“Malah, persekitaran Putrajaya dan Cyberjaya yang mempunyai pelbagai daya tarikan sudah pasti menyajikan pemandangan yang indah kepada setiap peserta di sepanjang larian.
“Lebih menarik apabila data menunjukkan lebih daripada 85 peratus peserta berjaya menamatkan larian mengikut masa yang ditetapkan bagi setiap acara,” ujarnya.

Pemenang acara 42 kilometer terbuka wanita berjaya membawa pulang hadiah wang tunai.
Mengulas mengenai pemenang, acara 42km bagi kategori lelaki terbuka dimenangi pelari Malaysia, Muhamad Haziq Hamzah dengan catatan masa 2 jam 41 minit 41 saat (2:41:141), manakala kategori wanita terbuka pula diungguli Noor Pamela Musa dengan masa larian 3:13:05 saat.
Kategori veteran lelaki 42km pula dimenangi Nik Fakaruddin Ismail (2:48:37), dan Lee Siok Chin mengungguli kategori veteran wanita.
Untuk kategori lelaki dan wanita antarabangsa 42km pula, masing-masing dimenangi Kazuto Sato dan Vu Khanh Linh.
Bagi acara larian 21km terbuka, ia dimenangi Wan Azizul Wan Rosley (terbuka lelaki), Chua Khit Yeng (terbuka wanita), Muhaizar Mohamad (veteran lelaki), Ng Mei Mei (terbuka wanita), David Kibet (antarabangsa lelaki) dan Nami Kanai (antarabangsa wanita).
Kesemua pemenang berjaya membawa hadiah wang tunai beserta trofi kemenangan.

Pemenang acara 42 kilometer veteran wanita berjaya membawa pulang hadiah wang tunai.
Tambah Mohd. Bukhari lagi, sebagai acara larian ikonik, Twincity Marathon yang sudah memasuki edisi ke-11 pada tahun ini tidak hanya sekadar pertandingan, tetapi juga simbol semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan para peserta melangkaui usia, gender, bangsa dan negara.
Justeru katanya, pagi penganjuran edisi seterusnya, pihaknya akan terus berusaha untuk melakukan penambahbaikan bagi membolehkan setiap peserta merasai pengalaman unik setiap kali menyertai acara larian Twincity Marathon.
Untuk rekod, sejak dianjurkan bermula sedekad lalu iaitu sejak 2014, acara larian Twincity Marathon berjaya menarik penyertaan lebih daripada 70,000 peserta daripada pelbagai negara.
Twincity Marathon 2026 dijayakan dengan sokongan penuh daripada Perbadanan Putrajaya, Pulse Group, Majlis Perbandaran Sepang selain sokongan dari Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan, Hospital Pakar Avisena Shah Alam, Selgate Corporation, Rokeby, Boom+, Paramount Corporation Berhad dan Kahf. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
