Projek kediaman kompak Copenhagen takrif semula konsep kehidupan mikro


  • Hias
  • Sabtu, 10 Jan 2026

Inovasi reka bentuk tingkap teluk dan struktur organik Harmonikahusene memberikan nafas baharu kepada konsep kediaman kompak yang mengutamakan pencahayaan semula jadi serta interaksi sosial.

SEBUAH projek perumahan komuniti baharu di Frederiksberg, Denmark kini merubah definisi kehidupan mikro bandar menerusi reka bentuk inovatif yang menekankan keseimbangan ruang dan kualiti hidup.

Dikenali sebagai Harmonikahusene atau Rumah Akordion, bangunan ini dibina secara organik mengikut landskap persekitaran dan menyediakan 700 kediaman untuk pelajar serta profesional muda menerusi dua kompleks utama, Umeus dan Noli.

Firma seni bina Effekt yang berpangkalan di Copenhagen mempertaruhkan elemen 'tingkap teluk' (bay window) sebagai tunjang utama bagi menjawab cabaran penyediaan ruang yang selesa dalam unit kediaman bersaiz kecil.

BACA LAGI: Trek bersegi tajam nilai RM3 juta cetus kritikan, tak praktikal untuk acara larian

BACA LAGI: Perancis ‘ban’ perkakas dapur guna bahan PFAS bermula 2026

Pengarah Kreatif Effekt, Tue Hesselberg Foged menjelaskan bahawa tingkap teluk tersebut berfungsi melampaui sumber cahaya semula jadi; ia bertindak sebagai sistem pengudaraan, penapis bunyi, serta ruang santai yang dilengkapi bangku terbina.

Seni bina bangunan ini juga lari daripada norma sudut 90 darjah konvensional, sebaliknya menampilkan rekaan melengkung bagi mengelakkan kawasan terlindung yang gelap serta membuka ruang visual kepada kawasan kejiranan sekitar.

Di bahagian yang menghadap jalan raya sibuk Aboulevard, struktur bangunan dianjakkan ke belakang bagi memberi laluan kepada zon penampan hijau yang berfungsi melindungi penghuni daripada pencemaran bunyi.

Bahagian tengah kompleks pula menempatkan sebuah taman awam yang dibuka kepada komuniti setempat, sekali gus menyuburkan interaksi sosial antara penghuni dan penduduk luar.

Aras bawah bangunan menggunakan kemasan kayu menjadi pusat aktiviti utama yang menempatkan ruang belajar, kafe, pusat kecergasan dan perpustakaan bagi mengeratkan hubungan sesama komuniti.

Unit-unit kediaman di tingkat atas disusun di sekeliling hab dapur kongsi, yang direka khas sebagai titik pertemuan harian bagi mencetuskan semangat kejiranan dalam kalangan penghuni.

Dari aspek estetika, Effekt menggunakan jubin seramik berkilat berwarna merah yang ditempah khas bagi menggantikan bata merah tradisional, sekali gus memberikan kesan reflektif yang harmoni dengan blok bersejarah di kawasan tersebut.

Selaras dengan budaya Copenhagen, projek ini menyediakan lebih 1,100 petak parkir basikal di ruang bawah tanah yang dilengkapi tanjakan khusus, membolehkan penghuni terus ke laluan basikal bandar tanpa gangguan kenderaan motor.

Harmonikahusene merupakan fasa pertama dalam pelan induk untuk menukar kawasan tersebut menjadi kampus bandar hijau, membuktikan bahawa kepadatan penduduk tetap boleh diurus melalui reka bentuk yang lebih lembut, cerah, dan saling berhubung. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram