PROJEK pembinaan kompleks sukan baharu bernilai 30 juta Baht (RM3.84 juta) di Wilayah Songkhla, Thailand kini menerima kritikan hebat daripada orang awam berikutan reka bentuk trek lariannya yang bersegi tajam.
Trek tersebut didakwa tidak selamat dan tidak praktikal untuk digunakan oleh orang ramai bagi aktiviti larian.
Pihak bertanggungjawab mengendalikan projek di bandar Padang Besar, daerah Sadao itu tampil menjelaskan bahawa trek tersebut sebenarnya tidak direka untuk tujuan larian, sebaliknya hanyalah sebagai laluan berjalan kaki.
BACA LAGI: Perancis ‘ban’ perkakas dapur guna bahan PFAS bermula 2026
Isu tersebut mula tular dan mendapat kecaman selepas gambar kompleks sukan yang telah siap itu dimuat naik di laman Facebook rasmi Perbandaran Padang Besar.
Trek tersebut dibina dengan sudut yang tajam, sekali gus menyimpang daripada piawaian larian standard yang biasanya berbentuk melengkung demi faktor keselamatan pengguna.
Bekas Ahli Parlimen Songkhla daripada Parti Demokrat, Dech-it Khaothong, memaklumkan bahawa bandar tersebut memang memerlukan kemudahan sukan awam memandangkan penyewaan fasiliti swasta sebelum ini menyukarkan penganjuran sebarang acara.
Menurut beliau, selepas mendapat kelulusan bajet, pihak berkuasa memutuskan untuk membina padang bola sepak terlebih dahulu.
Namun, kekangan keluasan tanah menyebabkan trek larian standard tidak dapat dibina selepas padang itu disiapkan.
"Trek ini tidak pernah bertujuan untuk kegunaan sukan atletik, sebaliknya hanya berfungsi sebagai laluan senaman untuk berjalan kaki," katanya.
Beliau turut menambah bahawa projek berkenaan masih belum diserahkan secara rasmi kepada pihak berkuasa tempatan, maka pengubahsuaian masih boleh dilakukan jika perlu.
"Pembinaan trek itu hanyalah sebagai bonus. Bagi padang bola sepak pula, ia dibina mengikut piawaian antarabangsa sepenuhnya," jelas Dech-it lagi.
Bagaimanapun, rata-rata penduduk tetap mempersoalkan kelemahan perancangan projek berkenaan. Mereka berpendapat bahawa sebarang kerja baik pulih pada masa hadapan hanya akan membazirkan lebih banyak dana awam. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
