'Larian ibu kepada segala sukan', guru perjelas sebab kejohanan merentas desa wajib di sekolah


  • Bonda
  • Rabu, 21 Jan 2026

Aktiviti larian seperti kejohanan merentas desa mampu menguji ketahanan fizikal kanak-kanak. — Gambar hiasan

ISU penganjuran kejohanan merentas desa di sekolah kembali menjadi perbualan dalam kalangan ibu bapa.

Terdapat segelintirnya yang mempersoalkan keperluan acara tersebut dimasukkan dalam takwim persekolahan serta waktu pelaksanaannya yang dianggap terlalu awal.

Antara persoalan yang sering dibangkitkan adalah mengapa kejohanan merentas desa perlu dianjurkan, selain kebimbangan terhadap tahap kecergasan anak-anak yang dikatakan tidak mampu berlari jarak jauh.

Justeru, seorang guru dan jurulatih merentas desa tampil memberikan penjelasan.

BACA LAGI: Paksa walau nangis, penjagaan gigi bayi perlu dimulakan seawal gigi pertama tumbuh — Pakar

BACA LAGI: Setia sampai 5 tahun, pekerja syarikat automotif ganti bonus 'cash' dengan unit pangsapuri

Kejohanan merentas desa antara sukan yang diwajibkan di sekolah. — Gambar hiasan

Berdasarkan perkongsiannya di akaun Threads @irsyadazman_,  merentas desa bukanlah sekadar sukan tambahan, sebaliknya merupakan acara wajib dalam takwim sedia ada.

Malah, penyertaan murid juga diwajibkan di peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD).

"Tak semua acara sukan diwajibkan penyertaan, tetapi merentas desa berbeza.

"Ia adalah asas kecergasan yang perlu dimiliki setiap murid, kecuali mereka yang mempunyai kekangan kesihatan," jelasnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa jarak larian rasmi bagi kejohanan MSSD hingga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) adalah antara 4 hingga 8 kilometer mengikut kategori.

Namun, di peringkat sekolah, jarak tersebut lazimnya lebih pendek dan disesuaikan dengan kemampuan murid.

"Bukan mesti laju, asal boleh selesai sahaja. Bahkan pada peringkat sekolah, biasanya jarak tak capai pun ikut standard rasmi.

"Kalau tak boleh juga, ibu bapa perlu periksa semula gaya hidup apa yang dia hidang pada anak-anak," tambahnya.

Mengulas pula isu melibatkan penganjuran yang sering dibuat pada awal tahun, beliau menjelaskan bahawa tarikh tersebut berkait rapat dengan takwim rasmi MSSM.

"Apabila kejohanan peringkat kebangsaan ditetapkan awal, maka peringkat negeri, daerah dan sekolah perlu bergerak lebih awal.

"Jika dibuat terlalu lewat, ia boleh menjejaskan proses pemilihan atlet yang layak mewakili sekolah ke peringkat seterusnya," ujarnya.

Dari sudut sains pula, beliau menegaskan bahawa larian merupakan komponen asas kepada hampir semua jenis sukan.

"Lagenda badminton, Misbun Sidek pernah berkata, larian adalah ibu kepada segala sukan.

"Sebab komponen larian ini ada pada hampir semua sukan fizikal.

"Jadi, bila dah kuasai komponen larian awal, mudah untuk sukan lain teruskan kepada fasa spesifik bila hampir tiba pada waktu pertandingan sukan tersebut," katanya.

Tambahnya, penganjuran merentas desa juga berperanan penting dalam membina kecergasan asas dan disiplin sukan dalam kalangan murid sejak awal usia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram