KERAJAAN Metropolitan Tokyo, Jepun kini mempergiat usaha menyokong aksesibiliti seni bagi golongan orang kelainan upaya (OKU) menerusi pelbagai inisiatif bantuan kewangan dan teknikal.
Langkah itu menyaksikan ibu negara Jepun itu menawarkan subsidi kepada organisasi seni yang menyediakan kemudahan khas, termasuk risalah dalam tulisan Braille serta perkhidmatan jurubahasa isyarat bagi membantu golongan cacat penglihatan dan pendengaran.
Inisiatif tersebut diperkenalkan susulan pemilihan Tokyo sebagai tuan rumah temasya Sukan Olimpik Pekak (Deaflympics) buat julung kalinya pada tahun 2022. Temasya sukan tersebut telah berlangsung selama 12 hari dan melabuhkan tirainya pada 26 November tahun lalu.
BACA LAGI: Projek kediaman kompak Copenhagen takrif semula konsep kehidupan mikro
BACA LAGI: Trek bersegi tajam nilai RM3 juta cetus kritikan, tak praktikal untuk acara larian
Bagi tahun fiskal 2024 yang berakhir Mac lalu, kerajaan Tokyo telah mewujudkan skim bantuan kewangan hingga 1.5 juta yen (kira-kira RM44,000) kepada organisasi seni termasuk teater dan dewan persembahan.
Menjelang tahun fiskal 2025, syarat permohonan telah dilonggarkan yang mana organisasi yang berpangkalan di luar Tokyo turut layak memohon, asalkan persembahan tersebut diadakan di dalam ibu kota berkenaan.
Salah sebuah syarikat yang memanfaatkan subsidi ini ialah Umeda Arts Theater Co. dari Osaka. Mereka memperkenalkan peranti sarikata mudah alih bagi membantu penonton masalah pendengaran mengikuti pementasan teater muzikal di Tokyo pada Oktober lalu.
Peranti berkenaan memaparkan nama watak serta dialog secara masa nyata, sekali gus membolehkan penonton menghayati persembahan dengan lebih mendalam tanpa sebarang kekangan komunikasi.
Bagaimanapun, sektor seni mengakui wujud cabaran untuk melabur dalam peranti bantuan sedemikian berikutan ketidaktentuan jumlah kehadiran penonton dalam kalangan golongan OKU.
Selain faktor kos, kekurangan pengetahuan dan pengalaman dalam kalangan kakitangan untuk menyantuni golongan OKU turut menjadi antara cabaran utama yang dihadapi oleh pengusaha industri seni.
Seorang pegawai daripada Umeda Arts Theater menyatakan bahawa sokongan awam melalui subsidi dan perkongsian kepakaran amat membantu kelangsungan perniagaan dalam menyediakan fasiliti inklusif.
Kerajaan Metropolitan Tokyo merancang untuk meneruskan program sokongan kewangan ini bagi tahun fiskal 2026 sebagai komitmen berterusan terhadap kelestarian seni.
Pihak berkuasa tempatan berharap inisiatif ini akan menjadi satu norma baharu, sekali gus memastikan dewan teater dan pameran seni boleh dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat tanpa diskriminasi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
