Asyik panaskan bangku simpanan, bek otai rancang tinggalkan Liverpool selepas 8 tahun


  • Podium
  • Jumaat, 16 Jan 2026

Liverpool dijangka bakal berwajah baharu pada jendela perpindahan akan datang dalam usaha mengukuhkan status di peringkat domestik dan Eropah. — Agensi

SEJAK menyertai Liverpool FC pada 2017, Andy Robertson tidak memerlukan masa lama untuk mengukuhkan status sebagai bek kiri terbaik pasukan.

Selain pintar mematahkan gerakan lawan, pemain antarabangsa Scotland itu kerap disanjung kerana begitu rajin dalam memberi tekanan untuk merebut bola.

Dalam aspek serangan pula, Robertson juga tidak kurang hebatnya selepas mencatatkan 12 gol dan 68 bantuan jaringan daripada 362 penampilan secara keseluruhan.

BACA LAGI: Bukannya tiap-tiap musim ‘hauk’, Liverpool tak perlu terburu-buru cari pengganti Andy Robertson

BACA LAGI: Liverpool akhirnya temui pengganti Robertson, tapi perlu bayar RM228.9 juta

Robertson mencurahkan impak cukup hebat sepanjang lapan tahun beraksi bersama skuad The Reds. — Agensi

Prestasinya yang begitu konsisten turut membantu skuad The Reds menjuarai Liga Juara-Juara UEFA (UCL) 2019, dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan beberapa pertandingan lain.

Bagaimanapun, selepas lapan musim bersama Liverpool, Robertson mula meletakkan perancangan untuk meninggalkan kelab itu pada akhir kempen ini.

Kontrak pemain berusia 31 tahun itu difahamkan akan berakhir pada penghujung musim dengan dia tidak mempunyai pelan untuk melanjutkannya.

Malah, setakat ini, dia hanya berada dalam kesebelasan utama EPL sebanyak empat kali memandangkan peranan itu lebih kerap dipikul Milos Kerkez yang baru sahaja tiba.

"Saya masih memiliki tempoh lima bulan bersama Liverpool dan kita akan lihat apakah kemungkinan sama ada untuk kekal atau sebaliknya," jelas Robertson.

Kehadiran Kerkez (kanan) membuatkan Robertson semakin sukar meraih minit permainan. — Agensi

Bek serba lengkap itu turut menegaskan bahawa dia terbuka untuk kekal dalam skuad kendalian Arne Slot, namun mahu beraksi lebih kerap.

"Saya mahu membantu Scotland layak ke Piala Dunia dan saya bersyukur kerana berjaya melakukannya. Saya perlu lihat apa yang diri saya dan keluarga benar-benar inginkan.

"Saya perlu berbincang bersama mereka dan membuat keputusan. Tiada siapa boleh menidakkan apa yang saya sudah lakukan buat kelab ini, jadi kita lihat apakah yang bakal berlaku," katanya.

Robertson berkemungkinan besar akan ke Piala Dunia di Amerika Syarikat kerana kehadirannya begitu penting dalam kempen kelayakan mereka yang begitu bersejarah.

Namun, selepas pertandingan peringkat antarabangsa itu, dia berkemungkinan akan mencari destinasi baharu bagi meraih minit permainan lebih kerap.

Setakat ini, tiada sebarang kelab dikaitkan dengan pemain berkenaan memandangkan usianya membuatkan pasukan sekitar Eropah perlu memikirkan pelbagai faktor sebelum keputusan dapat dibuat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram