Dari Darul Makmur ke AS, bekas arkitek Pahang dalam misi rebut slot ke Piala Dunia


  • Podium
  • Khamis, 15 Jan 2026

Ruziev beraksi untuk semusim setengah bersama skuad Tok Gajah sebelum pulang ke Uzbekistan. — Facebook/Sri Pahang FC

BARISAN pemain import Liga Super ketika ini sedang giat menanam cita-cita untuk beraksi di pentas Piala Dunia yang akan berlangsung di Amerika Syarikat (AS) kira-kira enam bulan sahaja lagi.

Dua tonggak Selangor FC, Mohamed Abualnadi dan Noor Al-Rawabdeh sudah tentu menjadi nama paling berpotensi untuk ke pertandingan itu selepas Jordan melayakkan diri buat kali pertama dalam sejarah.

Seorang lagi bintang Gergasi Merah, Alvin Fortes turut meletakkan misi sebegitu meskipun tahu misi itu sukar kerana Cape Verde dibarisi pemain berkualiti yang beraksi di Afrika mahupun Eropah.

BACA LAGI: Belum sampai sebulan, Ruziev sudah ada bos baharu, sertai kelab lama bintang Terengganu

BACA LAGI: Baru beberapa minggu mula latihan, tonggak import Tok Gajah 'check-in' wad akibat cedera

Kepulangan Ruziev ke Uzbekistan membuahkan hasil selepas menjuarai liga musim lalu. Instagram/Kuvondik Ruziev

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga lambakan bekas import Liga Super yang mahu beraksi dalam kejohanan terbesar dalam dunia bola sepak berkenaan.

Salah seorang daripadanya ialah pemain tengah Uzbekistan, Kuvondik Ruziev yang berpeluang mencipta nama di Piala Dunia selepas negaranya layak buat kali pertama.

Perancang berusia 31 tahun itu cukup sinonim dengan arena bola sepak tempatan selepas menghabiskan tempoh semusim setengah bersama Sri Pahang FC.

Sepanjang bersama skuad Tok Gajah, dia merekodkan 19 penampilan secara keseluruhan, namun hanya sempat mencetak satu gol dan satu bantuan jaringan.

Meskipun angka itu begitu rendah, namanya masih memainkan peranan penting kerana bekas jurulatih, Fandi Ahmad cukup memahami nilainya dalam mengawal tempo dan merencanakan gerakan.

Skuad Uzbekistan diumumkan Cannavaro menjelang kem latihan yang bakal berlangsung di UAE tidak lama lagi. Facebook/Uzbekistan FA

Selepas itu, dia memilih untuk meninggalkan Pantai Timur dan kembali ke Uzbekistan dan menyertai Neftchi sebelum baru-baru ini menjadi milik Navbahor.

Kepulangan ke Asia Barat turut membuahkan hasil apabila pada musim lalu, Ruziev membantu Neftchi menjuarai Liga Uzbekistan buat kali pertama sejak 2001.

Ini sekali gus memberinya peluang untuk kembali ke dalam skuad kebangsaan Uzbekistan selepas pengendali pasukan, Fabio Cannavaro memanggilnya bagi kem latihan antarabangsa.

Meskipun tidak dinyatakan lawan bakal dihadapi, kenyataan di laman media sosial pasukan menyatakan latihan akan berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula Selasa depan.

Panggilan tersebut merupakan peluang terbaik buat mana-mana pemain, termasuk Ruziev sendiri untuk menempa nama ke Piala Dunia akan datang.

Untuk rekod, Ruziev yang kini berusia 31 tahun pernah mewakili Uzbekistan sebanyak enam kali dengan penampilan terakhir di peringkat antarabangsa adalah pada September 2020. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram