Barisan jurulatih bukan calang-calang, tiada lagi alasan produk NFDP sekadar tangkap muat


  • Podium
  • Selasa, 13 Jan 2026

Perubahan direncanakan FAM dan NFDP bagi melahirkan lebih ramai pemain muda diharapkan membuahkan hasil. — Facebook/FAM

ROMBAKAN besar-besaran direncanakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke atas Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) bermula dengan pelantikan jurulatih berpengalaman, Datuk Ong Kim Swee.

Ini merupakan usaha badan induk bola sepak tempatan itu untuk melahirkan lebih ramai permata dalam sukan itu selepas bertahun-tahun bergantung dengan program naturalisasi.

Usaha itu juga membakar semangat dalam kalangan peminat yang yakin dengan kepimpinan bekas pengendali Sabah FC terbabit bagi mencetuskan perubahan.

BACA LAGI: NFDP: Tak boleh ada 2 entiti urus perkara sama, nanti tak selari — FAM

BACA LAGI: 'Jangan harap dana kerajaan', Khairy Jamaluddin nasihat FAM cari duit sendiri sebelum jaga NFDP

Kim Swee (kiri) bakal mengetuai program NFDP kali ini yang berwajah baharu. Facebook/FAM

Rombakan ke atas NFDP tidak terhenti di situ apabila pada Isnin, barisan kejurulatihan baharu bagi 2026 diperkenalkan dengan nama-nama besar dilantik.

Antaranya, Datuk Dollah Salleh yang bakal bertugas sebagai penolong pengarah teknikal sementara P Maniam bakal mengetuai skuad Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Bawah 15 Tahun (B-15).

Namun, tumpuan utama diberikan kepada skuad AMD B-16 yang diketuai bekas kapten negara, Shukor Adan serta dibantu Lim Chan Yew, Kuizwan Johari dan Farizal Harun.

Ini kerana semua daripada mereka begitu berpengalaman selain dikenali dengan personaliti tegas, sekali gus mencetuskan keghairahan dalam kalangan peminat.

Oleh itu, semua barisan kejurulatihan tersebut diharapkan mampu melahirkan generasi baharu yang berkualiti dan tidak hanya bersikap tangkap muat.

Antara barisan kejurulatihan terbaik disediakan buat pelatih AMD. Facebook/FAM

"Semoga produk yang keluar dari program NFDP bagi kemasukan kali ini setanding dengan negara-negara Asia lain, tak perlu pakai pemain warisan atau naturalisasi," kata Wan Firdaus Kobang Muhammad.

"Harap selepas disusun atur semula struktur akar umbi ini mungkin akan muncul. Bukan satu, bukan dua tetapi separuh skuad yang mantap, bukan setakat tangkap muat sahaja.

"Kim Swee dapat tugasan berat, jagalah baik-baik pasukan muda. Kalau boleh, pergilah menimba ilmu ke akademi berjaya di Asia dahulu dan kemudian timba pula di Eropah," kata Rozaidi Ismail.

Berdasarkan perkembangan terbaru, seramai 39 pelatih baharu berusia 13 tahun sudah melapor diri ke program NFDP pada Ahad di AMD Gambang, Pahang.

Sekiranya berhasil, semua pemain mampu mewarnai arena bola sepak negara sesuai dengan harapan peminat yang mahu bakat anak tempatan diketengahkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram