Pernah juarai Piala Dunia, pertahanan Brazil jadi pilihan Selangor


  • Podium
  • Rabu, 31 Dis 2025

Skuad Gergasi Merah perlu memperkuatkan pasukan sekiranya mahu muncul pasukan futsal gergasi dalam negara. — Facebook/Selangor FC

MUSIM lalu, Selangor FC menjadi antara pencabar utama di pentas futsal negara selepas menjuarai Piala Malaysia Futsal dan muncul naib juara Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL).

Kejayaan itu dikecapi dengan lambakan pemain berkualiti seperti Syahir Iqbal Khan dan Khairul Effendy Bahrin yang masing-masing cemerlang di bawah bimbingan Edgar Baldasso.

Namun, pencapaian tersebut belum cukup memuaskan bagi pihak pengurusan kelab yang sudah tentu lebih dahaga untuk membawa masuk lebih ramai pemain berkualiti.

BACA LAGI: Legenda futsal, 'mimpi ngeri' JDT antara 4 bintang tumpuan aksi final Selangor-Pahang Rangers

BACA LAGI: Bintang futsal negara tinggalkan Selangor selepas 6 tahun, JDT disebut-sebut destinasi baharu

Skuad Gergasi Merah menjuarai Piala Malaysia Futsal 2025. Facebook/FAM

Meskipun terpaksa berbelanja besar, usaha itu pasti dicurahkan dalam usaha mencabar gergasi futsal negara, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang menjuarai MPFL buat dua kali berturut-turut.

Khabar angin terbaru mula bertebaran dalam arena futsal negara adalah bahawa Selangor FC dilaporkan bersedia mendapatkan pemain kebangsaan Brazil, Marlon.

Dia yang beraksi di posisi fixo atau pertahanan itu mempunyai reputasi cukup baik di Amerika Selatan selepas menjuarai Piala Dunia Futsal 2024 di Uzbekistan.

Selain itu, di peringkat kelab pula, pemain terbabit pernah mewakili beberapa pasukan, termasuk di Sepanyol yang sekali gus menceritakan pengalaman luas dimilikinya.

Tetapi, terdapat kemungkinan besar bahawa kelab bakal disertainya selepas ini merupakan Selangor FC seperti mana tertera di laman Instagram rasmi skuad kebangsaan Brazil.

Hal itu pada awalnya disedari peminat sukan terbabit di Facebook, Arena Futsal berdasarkan poster terbaru dikeluarkan di ruangan media sosial negara berkenaan.

Ini kerana Marlon ditetapkan sebagai pemain Selangor FC yang sekali gus mengukuhkan bahawa perpindahan tersebut sudah dimeterai.

Malah, fixo Brazil berkenaan juga sudah diikuti kelab Lembah Klang berkenaan di laman Instagram peribadinya dengan ini merupakan petanda semakin jelas.

Sekiranya perpindahan terbabit dapat dimeterai, skuad Gergasi Merah akan memiliki bintang yang cukup berpengalaman, baik di peringkat kelab mahupun antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram