Baru beberapa minggu mula latihan, tonggak import Tok Gajah 'check-in' wad akibat cedera


  • Podium
  • Sabtu, 23 Mac 2024

Skuad Tok Gajah melakukan persiapan serba lengkap dalam misi menjadi pencabar takhta Liga Super 2024/25. — Facebook/Sri Pahang FC

SEJAK menyertai Sri Pahang FC, Kuvondik Ruzeiv tidak perlu menunggu lama untuk diangkat sebagai antara pemain tengah terbaik buat kelab Pantai Timur itu.

Gaya permainannya, termasuk dari segi hantaran dan gelecak meletakkannya sebagai salah seorang tonggak ketika skuad Tok Gajah menamatkan saingan Liga Super 2023 di tangga kelima.

Jadi, tidak hairanlah apabila pemain kelahiran Uzbekistan berkenaan dikekalkan bagi saingan musim depan dengan harapan besar diletakkan di bahunya.

Bagaimanapun, baru-baru ini, Ruziev difahamkan mengalami kecederaan tangan sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran Instastory yang kemudiannya ditangkap layar dan dikongsikan penyokong Tok Gajah di laman media sosial.

BACA LAGI: Ikut jejak langkah Faisal Halim, prospek Penang dapat rezeki ke Sri Pahang

WhatsApp Image 2024-03-21 at 22.39.53

Tangkap layar daripada Instastory yang memaparkan Ruziev terbaring di atas katil hospital.

BACA LAGI: Tiga syarat Brendan Gan letak sebelum pilih Pahang atau KL City

Hantaran terbabit turut memaparkan Ruziev yang terbaring di katil hospital di samping bek tengah Sri Pahang FC, Fadhli Shas dan import baharu mereka, Aleksandar Cvetkovic.

Kecederaan berkenaan berkemungkinan berlaku ketika berada di padang latihan dengan skuad kendalian Fandi Ahmad sudah melaporkan diri sejak beberapa minggu lalu.

Sehingga kini, Sri Pahang FC masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kecederaan menimpa pemain berusia 29 tahun berkenaan.

Namun, peminat setia pasukan pasti mengharapkan kesembuhan segera buatnya kerana kehadirannya cukup penting dalam membawa skuad Tok Gajah ke tahap lebih baik musim depan.

Untuk rekod, Ruziev mencatatkan satu gol dan satu bantuan jaringan dalam kesemua 15 penampilannya musim lalu dengan catatan tersebut diharapkan mampu ditambah baik pada 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram