‘Work in progress’, Arif Aiman bangkit keghairahan peminat JDT


  • Podium
  • Khamis, 08 Jan 2026

Arif Aiman kelihatan hampir kembali ke padang selepas menyertai sesi latihan susulan kecederaan dialaminya sebelum ini.

JENTERA serangan skuad Harimau Selatan jelas merindui kelibat tonggak utama, Arif Aiman Hanapi yang cedera sejak aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 18 November lalu.

Dia yang dikasari dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur terpaksa menjalani rawatan sehingga tidak dapat beraksi untuk hampir dua bulan.

Meskipun Johor Darul Ta'zim (JDT) memiliki lambakan pilihan dalam barisan serangan, sentuhan pemain berusia 23 tahun itu tampak amat diperlukan.

BACA LAGI: 'Doakan saya cepat sembuh', Arif Aiman janji kembali lebih kuat lepas pembedahan di Sepanyol

BACA LAGI: Ujian berbeza, lagu nasyid iringi perjuangan Faisal Halim dan Arif Aiman

Arif Aiman mengalami kecederaan kaki selepas dikasari dalam perlawanan menentang Nepal.

Ini dapat disaksikan dalam beberapa perlawanan, seperti mana ketika pasukan itu tewas kepada Melbourne City FC dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite pada 25 November lalu.

Ketiadaannya turut dirasai pengendali pasukan, Xisco Munoz yang mula bereksperimen dengan meletakkan Ager Aketxe atau Oscar Arribas di posisi itu, namun masing-masing terus bergelut.

Penantian untuk menyaksikan Arif Aiman bagaimanapun hampir tamat selepas baru-baru ini, pemain lincah itu berkongsi perkembangan baharu di sebalik proses pemulihannya.

Menerusi satu hantaran di InstaStory peribadinya, anak jati Kuantan, Pahang itu berkongsi sekeping foto memaparkannya di dalam gimnasium milik kelab berkenaan.

Arif Aiman berkongsi berita baik berhubung proses pemulihannya dari kecederaan.

Perkongsian itu dibuat berserta kapsyen ringkas 'Work in Progress' yang menceritakan bagaimana dia sedang berusaha untuk kembali dalam kadar segera.

Ini merupakan satu berita baik buat peminat JDT yang pasti merindui kelibat penyerang sayap itu dengan gandingannya di samping Bergson da Silva dan Jairo da Silva sudah lama tidak disaksikan.

Sebelum terlibat dengan kecederaan, Arif Aiman sempat merekodkan 17 penampilan dalam semua pertandingan buat kelabnya dengan lapan gol dan 13 bantuan jaringan dicatatkan.

Di peringkat antarabangsa pula, pemain terbabit diturunkan sebanyak lapan kali buat Harimau Malaya sepanjang tahun lalu dengan lima daripadanya terhasil dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027.

Malah, 2025 merupakan tahun cukup bermakna buat tonggak Harimau Selatan itu selepas berada dalam kelompok tiga teratas dalam Anugerah Pemain Terbaik AFC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram