KIRA-KIRA seminggu sebelum jendela perpindahan kedua dibuka, Negeri Sembilan FC (NSFC) sudah terlebih dahulu membuat pelaburan dalam memperkuatkan lagi pasukan.
Ini selepas pasukan bimbingan Nidzam Jamil itu disahkan berjaya membawa masuk tonggak UM-Damansara United, Anuar Cessay yang sebelum ini menjadi rebutan kelab Liga Super.
Perpindahan tersebut disahkan kelab pemain berkenaan sendiri yang bagaimanapun tidak mendedahkan amaun dibayar NSFC bagi memeterai perjanjian berkenaan.
BACA LAGI: Kongsi foto ziarah kubur nenek, pandu kereta nasional bukti Anuar Ceesay warisan sejati
BACA LAGI: Calon warisan HM dirisik kelab liga bawahan, akui kagum lihat Arif, Safawi
Reputasi pemain itu menjadi sebutan ramai selepas menampilkan aksi begitu memberangsangkan dalam Liga A1 Semi Pro bersama UM-Damansara United.
Selain itu, dia yang hanya berusia 23 tahun boleh jadi prospek cerah buat mana-mana pasukan, lebih-lebih lagi selepas muncul khabar angin bahawa pemain itu layak beraksi buat Harimau Malaya dengan status warisan.
Jadi, tidak hairanlah apabila keputusan pantas skuad Jang menyambar penyerang berkenaan menerima sokongan hebat bagi separuh kedua musim 2025/26 buat skuad Jang.
Perasaan tersebut dikongsikan di media sosial dengan rata-rata penyokong pasukan itu sudah tidak sabar untuk melihat Anuar beraksi.
"Untung NSFC dapat dia ini untuk kuota tempatan. Walaupun masih di tahap amatur, boleh digilap lagi. Bukan mahu cara mudah seperti mi segera dengan berikan kad pengenalan," kata Faizal Farhan.

Pemain dibawa masuk diharapkan mampu menyesuaikan diri dalam pasukan kendalian Nidzam. — Facebook/Negeri Sembilan FC
"Harapnya dia ni menjadilah bersama Negeri Sembilan FC. Kalau berjaya, teruslah diserap ke dalam skuad kebangsaan sebab dia katanya ialah pemain warisan," kata Joe Malik.
"Rugi kelab lain yang lambat ambil dia sebab layak main negara dengan status pemain warisan. Kita tengok dahulu impaknya buat skuad Jang nanti," ujar Norman Zaman.
Skuad Jang turut dikaitkan dengan beberapa pemain baharu bagi jendela perpindahan akan datang dalam misi menambah baik posisi dalam carta Liga Super.
Antara nama-nama lain yang dilaporkan berada dalam radar kelab itu ialah bekas tonggak Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Oday Kharoub serta import baharu dari Jepun, Mito.
Usaha dicurahkan itu membuktikan pihak pengurusan begitu bersungguh-sungguh dalam membantu Nidzam dan barisan kejurulatihan yang sebelum ini menceritakan ketempangan dalam skuad Jang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
