SKUAD Sang Penyu sekali lagi mencicirkan mata dalam saingan Liga Super apabila terikat dengan Kuching City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Jumaat.
Dalam aksi tersebut, pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Petrus Shitembi pada minit ke-44 selepas pemain kebangsaan Namibia itu menyudahkan umpanan Moses Atede.
Namun, maruah Terengganu FC sempat diselamatkan Engku Nur Shakir pada masa kecederaan untuk mengikat kedudukan 1-1 dengan keputusan itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Kalaulah ada VAR', mutu pengadilan halang Perak kutip 3 mata berdepan KRW

Engku Nur Shakir menjadi penyelamat skuad Sang Penyu pada minit akhir permainan.
Drama di perlawanan tersebut tidak terhenti di situ apabila dua pemain iaitu Filemon Anyie dan Safwan Mazlan dilayangkan kad merah pada penghujung babak kedua permainan.
Hukuman itu diberikan susulan salah faham yang pada awalnya melibatkan Azam Azmi Murad dan Scott Woods, namun semakin keruh akibat campur tangan pemain kedua-dua pasukan.
Tetapi, insiden tersebut tidaklah menjadi topik perbincangan hangat buat penyokong Terengganu FC yang beranggapan layangan kad merah perlu diberikan lebih awal, iaitu kepada Haziq Nadzli.
Pandangan itu dilontarkan selepas penjaga gol Kuching City FC terbabit dikesan menyentuh bola menggunakan tangan di luar kotak penalti ketika cuba menggagalkan peluang dimiliki Khalaif Naskam.
Kesalahan berkenaan turut disemak menerusi teknologi bantuan pengadil (VAR), tetapi tiada sebarang hukuman diberikan yang menyaksikan tonggak The Cats itu kekal di atas padang.
Keputusan terbabit jelas mengundang rasa kurang senang dalam kalangan peminat pasukan Pantai Timur itu yang sekali lagi mempersoalkan mutu pengadilan.
"Pengadil nak apa? Sudah tengok VAR, tetapi tiada keputusan. Bola kena tangan penjaga gol di luar kotak penalti, tetapi tidak dihukum. Bola itu kalau tidak terkena tangan boleh masuk gol," kata Azrul Fajri.
"Apa gunanya ada VAR kalau pengadil tidak ikut apa yang terpapar di skrin. Sebab itu FIFA tidak gunakan pengadil Malaysia dalam satu-satu perlawanan antarabanagsa. Standard kita terlalu rendah," kata Talaha Ya'acob.
"Rezeki Haziq tidak dikenakan kad merah. Saya sebagai penyokong Kuching City pun tahu akan kad merah kerana di luar kotak. Sekali, tiada kad. Apa nak jadi dengan liga kalau pengadil begini?" kata Eein Hidayat.
Dalam perlawanan sebelum ini, skuad Sang Penyu turut menjadi mangsa disebabkan mutu pengadilan ketika berdepan skuad Jang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan.
Insiden dimaksudkan adalah apabila pemain baharu, Kyaw Min Oo dilayangkan kad merah selepas didapati menjatuhkan pemain lawan dengan keputusan itu menimbulkan rasa kurang senang.
Masalah itu sekali lagi berulang dalam perlawanan baru-baru ini sehingga membuatkan pasukan Pantai Timur tersebut gagal membawa pulang tiga mata penuh.
Keputusan seri di laman sendiri tersebut menyaksikan Terengganu FC kekal di tangga kelima sementara Kuching City FC di kedudukan ketiga selepas kedua-dua pasukan beraksi 10 perlawanan setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
