PERMULAAN musim yang sedikit perlahan tidak menghalang Kelantan Red Warriors (KRW) FC untuk berada dalam kedudukan selesa Liga A1 Semi Pro 2025/26 apabila mereka kini di tangga keenam selepas 13 kali beraksi.
Kredit besar sudah tentu perlu diberikan kepada penyerang import, Emmanuel Mbarga yang jelas memikul peranan besar dalam pasukan sehingga boleh muncul pencabar utama liga.
13 gol yang dijaringkan setakat ini meletakkan pemain itu di persada puncak carta penjaring terbanyak dengan angka itu hanya disaingi rapat oleh peledak Selangor FC II, Abdul Rahman Daud.
BACA LAGI: Tiada apa menjadi pada babak pertama, saya kecewa — Xisco Munoz
BACA LAGI: Nostalgiknya aksi berdepan Penang, hadiahkan kemenangan pertama buat Gamel di Liga Super
Namun, melihat kepada sumbangan menyeluruh, impak dibawa Mbarga adalah lebih besar kerana baru sahaja menapak dalam arena bola sepak tempatan.
Selain itu, penyerang kelahiran Cameroon tersebut memikul tugas lebih berat bersama KRW FC yang baru sahaja ditubuhkan dengan rata-rata pemain tidak pernah merasai pengalaman di Liga Super.
Prestasi menakjubkan itu membuka kemungkinan bahawa Mbarga akan menjadi rebutan kelab tanah air sebaik sahaja jendela perpindahan kedua dibuka pada Januari depan.
Malah, tidak menjadi satu kejutan sekiranya terdapat pasukan berstatus gergasi tanah air akan cuba mendapatkan khidmat Mbarga meskipun perlu terlebih dahulu menebus kontraknya bersama KRW FC.
1) Selangor FC
Musim ini, Selangor FC tidak berdepan isu besar di hadapan pintu gol kerana kecemerlangan Chrigor Moraes mudah menyempurnakan hampir setiap peluang terhidang.
Bagaimanapun, sekiranya penyerang dari Brazil itu perlu direhatkan, barisan hadapan pasukan kelihatan sedikit tempang dengan Willian Lira terus hilang dalam bayang-bayang sendiri sejak awal musim.
Dalam menyelesaikan masalah itu, skuad Gergasi Merah berkemungkinan membawa masuk peledak baharu, namun bukanlah pemain utama kerana impak Chrigor sudah mengukuhkan tempatnya dalam kesebelasan utama.

Skuad Gergasi Merah tampak tempang sekiranya Lira berada dalam kesebelasan utama. — Instagram/Lira
Mbarga yang kini hanya beraksi buat KRW FC sudah pasti tidak mempunyai sebarang masalah untuk memainkan peranan sebegitu kerana peluang beraksi dalam Liga Super adalah satu hal sukar ditolak.
Struktur kewangan Selangor FC yang kukuh juga tidak akan merumitkan urusan perpindahan sebegitu kerana mereka boleh menawarkan gaji lebih berbaloi buat penyerang berusis 27 tahun terbabit.
Namun, pendekatan Christophe Gamel yang kerap memberi peluang buat pemain muda mengecilkan peluang perpindahan itu direalisasikan, lebih-lebih lagi dengan Abdul Rahman Daud terus berkobar-kobar dalam merebut tempat dalam skuad utama.
2) Terengganu FC
Kecederaan dialami penyerang Congo, Yann Mabella boleh dikatakan punca di sebalik kemerosotan prestasi Terengganu FC, terutamanya di barisan hadapan yang semakin bingung dalam mencetak jaringan.
Isu prestasi yang menghantui dua lagi penyerang import, Gabriel Silva dan Junior Ngog Sam turut menjejaskan kelab Pantai Timur itu yang pasti mahu mencari penyelesaian segera pada jendela perpindahan akan datang.
Skuad Sang Penyu bagaimanapun tidak perlu memandang terlalu jauh kerana Mbarga yang kini beraksi di negeri jiran buat KRW FC merupakan antara pilihan terbaik.

Kecederaan Mabella mendesak skuad Sang Penyu mencari penyerang baharu. — Instagram/TFC
Meskipun belum pernah menimba pengalaman di Liga Super, penyerang itu sudah menampilkan bakat dimiliki sepanjang kira-kira enam bulan buat pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu.
Perpindahan tersebut juga boleh menjadi penyelesaian jangka masa panjang kerana usianya yang belum memasuki 30-an akan meletakkannya sebagai aset utama Terengganu FC buat beberapa musim lagi.
3) Sabah FC
Situasi jentera serangan Sabah FC boleh dikatakan serupa dengan Selangor FC kerana kedua-dua pasukan itu memiliki penyerang berkauliti yang berkebolehan menyudahkan setiap peluang terhidang.
Jika skuad Gergasi Merah memiliki Chrigor, pasukan bimbingan Jean-Paul de Marigny itu mempunyai khidmat Ajdin Mujagic yang mula mendapat rentak selepas sukar menyesuaikan diri.
Namun, sekiranya penyerang dari Bosnia itu tidak dapat beraksi, skuad Sang Badak berdepan cabaran hebat kerana masalah kecederaan terus menghalang Darren Lok daripada beraksi secara kerap.

Masalah kecergasan menghantui Darren Lok musim ini. — Instagram/DarrenLok
Bagi menutup masalah itu, Sabah FC boleh cuba membawa masuk Mbarga yang pasti terbuka untuk memeterai perpindahan itu jika diberi kepercayaan penuh.
Reputasi skuad Sang Badak yang baru sahaja melangkah ke pentas akhir Piala FA akan membuatkan perpindahan itu sebagai tarikan sukar ditolak meskipun mereka kurang konsisten dalam saingan Liga Super.
Kehadiran Mbarga dalam pasukan Borneo tanah air itu juga akan mengeluarkan Mujagic dari zon selesa, sekali gus berpeluang meletakkan mereka kembali di landasan selepas permulaan musim yang sedikit kekok. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
