Pentingnya ikut latihan jurulatih, Azmeer Yusof imbau momen berguru bersama Tan Cheng Hoe


  • Podium
  • Isnin, 12 Jan 2026

Cheng Hoe mempunyai reputasi cukup baik dalam kalangan peminat dan pemain skuad Sang Kenari sehingga ke hari ini.

DALAM era bola sepak moden Malaysia, Tan Cheng Hoe merupakan antara pengendali paling berpengaruh bersama setiap pasukan dibimbingnya.

Selangor FC dan skuad kebangsaan sudah cukup untuk dijadikan contoh memandangkan impak dibawanya mampu membawa pasukan dan pemain ke tahap lebih tinggi.

Namun, jika ditanya kepada peminat setia, mereka pasti berpandangan tempoh terbaik Cheng Hoe dalam dunia kejurulatihan adalah ketika dia bersama Kedah FA.

BACA LAGI: Tidak jauh beza pemain lokal-warisan, hanya cara pemikiran jadi kelainan — Azmeer Yusof

BACA LAGI: Dedah pengalaman buruk dibuli pemain senior, Zaquan Adha ajak Azmeer Yusof bersemuka

Cheng Hoe merupakan antara jurulatih paling berpengaruh dalam sejarah moden bola sepak Kedah.

Dia pada awalnya memulakan karier dalam bidang itu sekitar 2014 ketika pasukan Utara tanah air terbabit masih beraksi dalam Liga Perdana.

Ini kerana semasa bersama skuad Sang Kenari, Cheng Hoe tidak memerlukan masa lama untuk membawa impak selepas membantu pasukannya kembali ke divisyen pertama pada musim berikutnya.

Malah, pada 2016, jurulatih dari Kedah itu menjadikan kelabnya pencabar utama dengan menjuarai Piala Malaysia selain menamatkan kempen Liga Super di tangga ketiga.

Pencapaian demi pencapaian dilakar tersebut meletakkan namanya sebagai antara yang terbaik dalam negara sehingga ke hari ini.

Perkara berkenaan turut diakui bekas anak buahnya, Azmeer Yusof yang berkongsi bagaimana Cheng Hoe kekal dengan prinsip pada sesi awal kejurulatihannya.

Azmeer berpeluang menimba ilmu dan pengalaman di bawah bimbingan Cheng Hoe.

"Dalam latihan ini, saya diprogram sepenuhnya oleh coach Tan untuk mengikut cara permainan Kedah iaitu hantaran pendek dan bergerak.

"Pada mulanya, sangat susah untuk ubah diri saya untuk ikut cara pasukan waktu itu. Tetapi, dengan bantuan jurulatih dan pemain waktu itu, saya dapat belajar dan ubah cara permainan saya secepat mungkin," katanya.

Hantaran dibuat di Facebook berkenaan berserta salah satu contoh teguran dibuat jurulatih berkenaan terhadap Azmeer yang beraksi di posisi bek kanan.

Ini kerana dalam sesi latihan, pemain terbabit diingatkan untuk mengubah gaya permainan meskipun kesan dibawanya membawa kepada jaringan.

"Saya teringat satu teguran dari coach Tan. Sewaktu saya lari ke depan, saya buat hantaran bola Kahe. Kahe menanduk dan gol. Untuk kita yang tak berapa ada ilmu, itu perkara terbaikkan? Sebab kita assist dan dapat gol.

"Tetapi, tidak untuk coach Tan. Dia datang kepada saya, mengatakan low cross like Bayern Munich. Saya sendiri tak faham, tetapi lama kelamaan saya, faham dan setiap perlawanan Kedah waktu tu, saya banyakkan hantaran rendah," katanya.

Jelas Azmeer, perubahan itu mencetuskan sumbangan cukup besar, terutamanya ketika membantu Kedah menundukkan Sabah di suku akhir Piala FA 2016.

Hantaran lintang rendah dibuat dalam perlawanan tersebut berjaya menghasilkan gol selepas bola mudah ditampan Baddrol Bakhtiar bagi memastikan kemenangan skuad Sang Kenari.

"Sebab itu kita perlu jadi 'coach' yang terbaik untuk anak buah kita. Anda terbaik, anak buah anak akan jadi lebih terbaik," katanya lagi.

Ketika ini, Cheng Hoe tidak mengendalikan mana-mana pasukan selepas meninggalkan Selangor FC pada 2024 dengan dia kini merupakan Pengarah Teknikal Harimau Muda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram