Pernah alami isu gaji, bekas bek Kedah bantu kelab Uzbekistan tamatkan kemarau takhta liga 24 tahun


  • Podium
  • Sabtu, 27 Dis 2025

Skuad Sang Kenari membawa masuk lambakan import pada 2023 sebelum berdepan isu pengurusan.

SEBELUM tergelincir ke kancah Liga A1 Semi Pro, Kedah Darul Aman (KDA) FC dahulunya dikenali sebagai antara pasukan terbaik dalam negara dengan lambakan pemain import berkualiti pernah dimiliki.

Kehadiran mereka di samping tonggak tanah air menyaksikan skuad Sang Kenari memiliki reputasi cukup digeruni dengan lambakan kejuaraan membuktikan perkara itu.

Antara import yang masih diingati peminat sehingga hari ini ialah bek tengah dari Serbia, Bojan Ciger yang menyertai kelab Utara tanah air itu pada 2023.

BACA LAGI: Tak sama hype seperti Bojan Ciger, nama Cleylton wajar jadi igauan lawan

BACA LAGI: Sah tinggalkan Kedah, Bojan Ciger pantas 'dipinang'

KDA FC beraksi dalam Liga A1 Semi Pro musim ini berikutan isu pengurusan terdahulu. AFL

Ketika itu, KDA FC sedang memasuki fasa transformasi setelah berada di bawah pemilikan baharu iaitu Tan Sri Mohd Daud Bakar yang begitu teruja dalam mengembalikan zaman kegemilangan pasukan.

Pengalaman pertahanan kental tersebut beraksi di negara sendiri serta liga di Montengero dan Uzbekistan menjadikannya calon ideal bagi mengukuhkan benteng skuad Sang Kenari.

Selain itu, struktur fizikal Bojan Ciger menjadikannya aset utama pasukan dengan ketinggiannya mencecah 1.86 meter (m) membawa impak besar dalam arena bola sepak tempatan.

Namun, karier pemain itu bersama KDA FC tidak bertahan lama setelah kelab berkenaan mengalami isu pengurusan begitu teruk sehingga menyebabkan tunggakan gaji berbulan-bulan lamanya.

Bojan Ciger merupakan antara pemain yang berdepan kemelut gaji bersama skuad Sang Kenari pada 2023. Facebook/KDA FC

Kemelut terbabit menjatuhkan moral skuad Sang Kenari, termasuk Bojan Ciger sendiri yang meskipun merekodkan 28 penampilan, persembahan bek tengah itu jelas merosot memasuki penghujung musim.

Kecewa akan nasib berkenaan, dia kemudiannya memilih untuk meninggalkan KDA FC dan berkelana ke Uzbekistan selepas menerima tawaran daripada Neftchi Fargana.

Perpindahan tersebut dibuat memandangkan pasukan terbabit mempunyai reputasi cukup megah di samping memiliki skuad berkualiti dibarisi pemain berpengalaman di peringkat antarabangsa.

Ini turut menceritakan bahawa kebolehan Bojan Ciger sepanjang bersama skuad Sang Kenari dihidu hingga ke Asia Tengah dengan harapan kehadirannya mampu menyumbang trofi buat kelab itu.

Bojan Ciger tersenyum puas selepas membantu Neftchi Fargana menjuarai Liga Uzbekistan. Instagram/Bojan Ciger

Kepercayaan dicurahkan akhirnya membuahkan hasil setelah baru-baru ini, Neftchi Fargana menjuarai Liga Uzbekistan buat kali pertama sejak 2001.

Pencapaian itu turut dilakar hasil rekod pertahanan cemerlang dengan hanya 24 gol dibolosi dalam 30 perlawanan yang menyaksikan Bojan Ciger hanya tidak turun sebanyak lima kali.

Ini sekali gus bakal menyaksikan Neftchi Fargana layak ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite musim depan dengan ia merupakan pengalaman baharu buat beberapa pemain dalam pasukan, termasuk bekas pertahanan KDA FC itu sendiri.

Kejayaan di Uzbekistan itu menceritakan bagaimana bek tengah kental terbabit berjaya bangkit daripada satu episod menyedihkan bersama skuad Sang Kenari kira-kira tiga tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram